BEKAS Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil menolak pelawaan Ahmad Zahid Hamidi untuk menyertai inisiatif “Rumah Bangsa”, kerana parti itu masih bekerjasama dengan DAP.
Pendiriannya itu dilihat berbeza dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang menjadi antara individu terawal mengumumkan hasrat untuk kembali menyertai parti melalui agenda tersebut.
Isham, yang dipecat daripada UMNO pada tahun 2023, berkata beliau tidak berminat menyertai gerakan berkenaan kerana ia masih berada dalam kerangka kerajaan Kerajaan Madani.
Beliau turut mencadangkan agar Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, merendahkan ego dan memohon maaf secara peribadi kepada beberapa pemimpin yang sebelum ini dipecat atau digantung keahlian sebelum mengajak mereka kembali ke dalam parti.
Menurutnya, antara individu yang wajar diberikan permohonan maaf termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein, serta bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Isham berkata beliau tidak perlu dijemput atau mengadakan pertemuan kerana telah berkali-kali menegaskan bahawa selagi UMNO bekerjasama dengan DAP, beliau tidak akan kembali ke parti tersebut.
Sebelum ini, Zahid mengumumkan bahawa pintu UMNO terbuka luas kepada bekas ahli untuk kembali menyertai parti melalui inisiatif “Rumah Bangsa” tanpa sebarang syarat.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelawaan tersebut juga terbuka kepada mana-mana individu yang ingin bersama dalam perjuangan parti itu.
Sementara itu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau mengesahkan dalam podcast Keluar Sekejap bahawa beliau telah mengarahkan setiausaha akhbarnya menyediakan permohonan rasmi untuk kembali menyertai UMNO.
Isham dipecat daripada parti itu pada 6 Disember 2023 susulan kritikan terbukanya terhadap kepimpinan UMNO serta kerjasama parti tersebut dengan DAP.
Beliau turut mendakwa parti-parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu tidak akan menyertai inisiatif “Rumah Bangsa” selagi UMNO menyokong DAP, sambil menyifatkan parti itu kini sedang membayar harga kerana didakwa menukar maruah dengan jawatan dalam kerajaan.
Tambahnya lagi, parti tersebut tidak boleh mengharapkan rakyat kembali mempercayai mereka hanya dengan menukar haluan apabila musim pilihan raya tiba.
-BTSMedia.my



