PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan angkuhnya berkata beliau berhak campur tangan dalam menentukan siapa yang akan menjadi pemimpin Iran seterusnya ketika konflik bersenjata di rantau itu semakin memuncak.
Ini sekali gus menimbulkan gambaran bahawa beliau cuba bertindak sebagai penguasa global yang menentukan nasib negara lain.
Dalam temu bual telefon dengan Reuters, Trump berkata Amerika Syarikat mahu terlibat secara langsung dalam proses memilih pemimpin masa depan Iran, selepas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel sebelum ini. Beliau turut memperlekeh kemungkinan Mojtaba Khamenei, anak kepada pemimpin tersebut yang terkenal sebagai tokoh tegas, untuk menggantikan bapanya.
Trump berkata bahawa Washington mahu memainkan peranan dalam menentukan siapa yang akan memimpin Iran pada masa hadapan, satu kenyataan yang dilihat oleh pengkritik sebagai bukti sikap angkuh dan campur tangan melampau Amerika Syarikat terhadap kedaulatan negara lain.
Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan kumpulan Kurdish Iran supaya melancarkan serangan terhadap kerajaan Tehran.
Pentadbiran Trump mempunyai hubungan dengan kumpulan Kurdish Iran sejak serangan udara Amerika Syarikat dan Israel bermula, namun beliau enggan menyatakan sama ada Washington akan menyediakan perlindungan udara bagi sebarang operasi ketenteraan mereka.
Langkah tersebut dilihat sebagai perjudian politik besar oleh Trump, ketika tinjauan pendapat menunjukkan sokongan rakyat Amerika terhadap peperangan itu sangat rendah dan ramai bimbang kenaikan harga petrol akibat gangguan bekalan tenaga global. Trump tidak mempedulikan kebimbangan itu.
Pada hari keenam konflik, Iran telah melancarkan serangan terhadap Israel, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar. Bahrain pula terpaksa memadamkan kebakaran di sebuah kilang penapisan minyak selepas disasarkan peluru berpandu Iran.
Tentera Israel turut memberi amaran kepada penduduk negara itu supaya meninggalkan beberapa kawasan termasuk timur Tehran, sementara media Iran melaporkan beberapa letupan kuat kedengaran di sekitar ibu negara. Sebuah serangan udara telah mengorbankan 17 orang di sebuah rumah barat laut Tehran.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth dan komander tentera Amerika di Timur Tengah, Laksamana Brad Cooper, mendabik dada kononnya Amerika Syarikat mempunyai bekalan senjata mencukupi untuk meneruskan pengeboman tanpa had.
Cooper berkata sekurang-kurangnya 30 kapal Iran telah diserang, termasuk sebuah kapal pengangkut dron bersaiz besar, manakala pengebom B-2 turut menggugurkan puluhan bom penembus konkrit seberat 2,000 paun dalam usaha untuk memusnahkan pelancar peluru berpandu balistik yang disembunyikan jauh di bawah tanah.
Konflik di rantau itu kini semakin merebak apabila Azerbaijan menuduh Iran melancarkan dron ke wilayahnya dan menutup ruang udara selatan negara itu selama 12 jam. Iran bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, kerana sumber sahih berkata yang melakukan serangan tersebut ialah Israel.
Sejak serangan udara mengejut Amerika Syarikat dan Israel yang membunuh Khamenei, konflik itu telah merebak ke beberapa kawasan lain di rantau tersebut, termasuk bandar-bandar Teluk, Cyprus dan Turki. Memburukkan lagi keadaan, negara-negara Eropah pula merancang untuk menghantar kapal tentera ke Mediterranean timur.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, sekurang-kurangnya 1,230 orang telah terbunuh setakat ini, termasuk 175 pelajar perempuan dan kakitangan sekolah yang maut dalam serangan ke atas sebuah sekolah rendah di Minab pada hari pertama peperangan. Di Lubnan pula, sekurang-kurangnya 77 orang dilaporkan terbunuh, manakala ribuan penduduk melarikan diri dari selatan Beirut selepas Israel mengeluarkan amaran pemindahan.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa bahawa pencapaian Israel di Iran setakat ini adalah “besar”, namun mengakui bahawa lebih banyak operasi ketenteraan masih diperlukan.
Menteri luar Iran memberi amaran bahawa Washington akan “menyesal besar” kerana menggunakan kapal selam untuk menyerang dan menenggelamkan sebuah kapal frigate Iran yang membawa kadet tentera untuk latihan tentera bersama tentera laut India di perairan antarabangsa tanpa sebarang amaran. Seorang komander Pengawal Revolusi Iran turut berkata bahawa pasukannya telah memutuskan untuk menentang tentera Amerika di mana sahaja mereka berada.
-BTSMedia.my



