BTS Media

Trump kecewa, semakin hilang keyakinan untuk kemenangan mudah ke atas Iran

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan mengambil pendekatan luar biasa dan kini dikatakan mempamerkan profil rendah selepas mengumumkan pelancaran serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Iran, walaupun sebelum ini dengan bangga berkata operasi tersebut akan membawa kemenangan yang cepat dan mudah.

Beliau memilih untuk tidak berucap secara rasmi dari Pejabat Oval White House seperti kebiasaan presiden terdahulu ketika mengumumkan tindakan ketenteraan utama. Sebaliknya, beliau hanya memuat naik video sepanjang lapan minit di platform media sosial miliknya, Truth Social pada pukul 2.30 pagi hari Sabtu. Dalam rakaman itu, beliau dilihat berdiri di podium sambil memakai topi besbol putih dan menyampaikan kenyataan secara ringkas.

Rakaman itu menjadi penampilan terakhir beliau kepada umum sehingga satu lagi video disiarkan pada petang hari Ahad. Dalam perjalanan pulang ke Washington dengan pesawat Air Force One, Trump yang lazimnya gemar berinteraksi dengan media enggan menjawab sebarang soalan daripada wartawan yang turut serta.

Beliau juga tidak mengadakan sidang media rasmi untuk menjelaskan kepada rakyat Amerika sebab tindakan ketenteraan tersebut diambil. Kenyataan pertamanya kepada media selepas kembali ke White House pula tidak menyentuh perkembangan serangan ke atas Iran, sebaliknya beliau hanya mengulas mengenai dua patung baharu yang dipamerkan di Rose Garden.

Menurut pemerhati keseluruhan pentadbiran Trump turut dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dan kurang tampil ke hadapan selepas pelancaran Operasi “Epic Fury”. Tiada kenyataan gah dikeluarkan oleh Pentagon atau Jabatan Negara, dan anggota kabinet juga tidak muncul dalam rancangan berita pagi hujung minggu bagi mempertahankan operasi tersebut.

Maklumat lanjut mengenai matlamat kempen udara bersama Amerika Syarikat dan Israel hanya diperoleh melalui beberapa wawancara telefon ringkas yang diberikan Trump kepada media tempatan. Namun, kenyataan beliau jelas tidak konsisten.

Dalam satu wawancara, beliau berkata bahawa perang mungkin berlarutan selama empat minggu, manakala dalam wawancara lain tempohnya disebut lima minggu. Beliau juga menyebut mempunyai tiga calon pilihannya sendiri bagi memimpin Iran selepas kematian pemimpin tertinggi negara itu, namun kemudian berkata bahawa calon terbaiknya telah terbunuh.

Tempoh wawancara yang singkat serta nada yang lebih terkawal berbanding kebiasaannya telah mencetuskan persepsi bahawa Trump kelihatan lebih berhati-hati dan kurang yakin terhadap hasil operasi tersebut.

White House turut menafikan khabar bahawa Trump akan menyampaikan ucapan langsung penuh kepada negara. Sebaliknya, dalam beberapa gambar yang dikeluarkan menunjukkan beliau berada di kediaman peribadinya, Mar-a-Lago di Florida dalam suasana yang digambarkan sebagai bilik operasi/situasi sementara bersama pasukan keselamatan negara, dengan penampilan yang kelihatan letih.

Walaupun tidak bermain golf seperti kebiasaannya pada hujung minggu, Trump tetap menghadiri dua majlis kutipan dana Parti Republikan di kelabnya. Jurucakap White House berkata bahawa kehadiran beliau di salah satu majlis tersebut adalah lebih penting daripada sebelumnya.

Sebelum serangan dilancarkan, Trump juga menghadiri satu lagi majlis kutipan dana pada hari Jumaat malam, namun beliau tidak berada lama di situ. Dalam satu rakaman video, beliau kedengaran memberitahu para tetamu supaya menikmati majlis tersebut kerana beliau perlu kembali bekerja.

Perkembangan sepanjang hujung minggu itu telah menimbulkan tanggapan bahawa operasi yang sebelum ini digambarkan sebagai langkah tegas dan berpotensi membawa kemenangan pantas kini kelihatan lebih rumit, sekali gus mencerminkan nada yang lebih berhati-hati dalam pendekatan presiden.

-BTSMedia.my

Leave a Comment