BTS Media

Pembunuhan Khamenei akan jadi ‘simbol’ bagi rakyat Iran

BAGI Ali Hashem, wartawan Al Jazeera yang melaporkan dari Doha, Qatar, kini segalanya bergantung kepada bagaimana peperangan ini berakhir dan bentuk susunan politik yang akan muncul selepasnya.

Beliau berkata, dalam banyak konflik, cara sesuatu peperangan ditamatkan sering menentukan bagaimana tokoh-tokoh utamanya akan dikenang, iaitu sama ada sebagai pemimpin yang gagal, tokoh kontroversi, atau simbol yang kekal dalam sejarah.

Bagi para penyokong tegar Ayatollah Ali Khamenei, khususnya mereka yang berpegang kepada doktrin Wilayat al-Faqih, prinsip pemerintahan oleh ulama yang menjadi asas ideologi Republik Islam, kematiannya kerana dibunuh oleh puak Israel and Amerika tidak akan menamatkan pengaruhnya. Sebaliknya, ia berkemungkinan besar akan mengangkat beliau sebagai simbol yang lebih besar daripada peranan politiknya semata-mata.

Dalam budaya politik Republik Islam Iran, konsep syahid atau martir mempunyai makna yang sangat mendalam.

Seorang pemimpin yang terbunuh dalam konfrontasi dengan musuh luar akan dilihat, oleh penyokongnya, bukan sebagai tokoh yang tewas, tetapi sebagai insan yang berkorban demi mempertahankan revolusi dan negara. Naratif ini selari dengan sejarah Republik Islam Iran yang sejak tahun 1979 dibentuk oleh wacana perjuangan dan penentangan terhadap kuasa asing.

Dalam konteks itu, Khamenei berpotensi untuk diangkat setaraf dengan Ayatollah Ruhollah Khomeini, pengasas Republik Islam dan arkitek Revolusi Iran.

Jika Khomeini dikenang sebagai tokoh yang mencetuskan revolusi dan membentuk sistem baharu, Khamenei pula dilihat sebagai pemimpin yang memelihara dan mengukuhkan sistem tersebut melalui pelbagai cabaran, termasuk perang serantau, sekatan ekonomi, tekanan antarabangsa dan pergolakan dalaman.

Sekiranya beliau terbunuh dalam suasana peperangan, simbolisme peristiwa itu mungkin akan mengatasi segala perdebatan mengenai legasi kepimpinannya yang panjang.

Bagi mereka yang percaya kepada projek revolusi Islam Iran, kematian sedemikian akan dilihat sebagai pengorbanan tertinggi, justeru meletakkannya bukan sekadar sebagai pengganti Khomeini, tetapi sebagai penjaga revolusi yang membayar harga paling mahal.

Namun, bagaimana sejarah akan menilainya secara keseluruhan tetap bergantung kepada apa yang berlaku selepas itu. Yang pasti, dalam kalangan penyokongnya, naratifnya hampir tidak akan berubah: beliau akan dikenang bukan hanya sebagai seorang pemimpin, tetapi sebagai satu simbol.

-BTSMedia.my

Leave a Comment