SEORANG lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan RM5 juta.
Ketua Pasukan Bersama Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin. Tertuduh berusia 56 tahun itu memaklumkan bahawa beliau memahami pertuduhan yang dikenakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamed Fauzi didakwa telah diamanahkan RM5 juta dalam satu akaun bank milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan disyaki melakukan CBT apabila menggunakan wang tersebut secara tidak jujur dengan membuat pelaburan tambahan di Precious Amber International Bhd tanpa kelulusan jawatankuasa pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 27 November 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Pendakwa raya memohon jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin serta memohon supaya pasport tertuduh ditahan oleh mahkamah atas alasan tertuduh masih berkhidmat dan kerap ke luar negara, sekali gus wujud risiko melarikan diri.
Peguam bela memaklumkan bahawa tertuduh mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah dan berhujah jumlah jaminan yang dicadangkan adalah terlalu tinggi.
Menurutnya, kes berkenaan bukan melibatkan penyelewengan wang tetapi penyalahgunaan dana, selain menyatakan pihak pembelaan tidak membantah sekiranya mahkamah mengarahkan pasport tertuduh diserahkan.
Pihak pembelaan memohon jaminan dikurangkan kepada RM70,000 dan memberi jaminan tertuduh akan hadir ke semua prosiding.
Pihak pendakwaan kemudiannya menyatakan tiada bantahan untuk mengurangkan jumlah jaminan memandangkan tertuduh bersetuju menyerahkan pasport, namun menegaskan jumlah tersebut tidak seharusnya serendah yang dipohon pembelaan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mac.
–BTSMedia.my



