ALAT vape yang dilihat seperti produk biasa semakin kerap disalahgunakan sebagai kaedah penyalahgunaan dadah. Ini kerana sesetengah cecair vape yang mengandungi bahan terlarang boleh memberi kesan serius kepada kesihatan pengguna.
Dikenali sebagai vape “Kpod”, yang luas digunakan di serata Asia Tenggara, mengandungi campuran bahan dadah haram, justeru menjadikan tabiat vape yang sedia berisiko semakin berbahaya.
Akhbar The Star melaporkan bahawa kebanyakan pengguna langsung tidak menyedari kandungan sebenar cecair tersebut, yang sering disalah anggap sebagai nikotin biasa atau bahan “ringan”.
Seorang pengguna berusia 42 tahun, Nur Maisarah (bukan nama sebenar) telah mencuba cecair vape berkenaan tanpa menyedari kandungannya selepas dikongsikan oleh seorang rakan. Menurutnya, kesan yang dirasai berlaku hampir serta-merta walaupun sedutan hanya beberapa saat.
Dia mengalami rasa sejuk secara tiba-tiba, bersama gangguan pendengaran serta sensasi seolah-olah terapung, selain halusinasi yang menakutkan. Kesan tersebut berlarutan sehingga hampir dua jam walaupun kadar yang diambil hanya sedikit.
Dalam tempoh itu, beliau turut berasa seolah-olah terpisah daripada realiti, dengan pergerakan terasa amat perlahan dan persekitaran kelihatan herot serta sukar difokuskan. Setelah mengalami beberapa episod kesan tersebut, dia terus berhenti dan tidak lagi mahu menggunakan vape.
Kerana bimbang kesan terhadap kesihatannya, Nur Maisarah segera menjalani pemeriksaan perubatan, namun keputusan menunjukkan tiada jangkitan atau masalah kesihatan yang jelas. Keadaan ini menimbulkan kekeliruan sama ada gejala tersebut berpunca daripada tekanan atau tindak balas badan terhadap bahan yang disedut.
Dia turut mendedahkan bahawa rakan yang memperkenalkan vape tersebut mengalami kesan lebih teruk, termasuk perubahan tingkah laku yang ketara. Dirinya yang pendiam, berubah menjadi terlalu banyak melalut, seolah-olah fungsi otaknya terganggu, selain menunjukkan perubahan fizikal pada wajah.
Nur Maisarah juga mengimbau satu kejadian yang berlaku pada seorang remaja lelaki di luar sebuah kedai vape. Remaja itu mengalami histeria, menggigil, batuk teruk dan berbuih di mulut sebelum dihantar ke hospital.
Berikutan pengalaman tersebut, dia menyuarakan kemarahan terhadap pihak yang menjual produk sedemikian dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab kerana sanggup merosakkan kehidupan orang lain demi keuntungan mudah. Dia menasihatkan orang ramai agar tidak terikut-ikut rakan semata-mata untuk nampak diri trendy.
Sementara itu, seorang pengedar stok vape berusia 26 tahun, Din (bukan nama sebenar), berkata dia kerap didekati individu yang cuba mempromosikan cecair vape tersebut kepada peniaga, dengan taktik menawarkan sampel percuma sebelum menjual produk tersebut secara sulit.
Menurutnya, penjual bahan itu beroperasi seperti pengedar jalanan, menggunakan saluran tersembunyi termasuk aplikasi dalam talian dan media sosial. Harga cecair tersebut adalah jauh lebih mahal berbanding vape nikotin biasa, malah terdapat pelajar sekolah membelinya secara titisan pada harga yang rendah.
Dalam perkembangan berkaitan, Pakar Psikiatri Ketagihan dari Universiti Monash Malaysia, Profesor Madya Dr Anne Yee, berkata bahawa kebanyakan pengguna dan penjual sendiri tidak mengetahui kandungan sebenar cecair tersebut. Ujian toksikologi menunjukkan bahan berkenaan mengandungi etomidate, sejenis anestetik bertindak pantas, dan bukannya ketamin seperti yang sering disangka.
Beliau menjelaskan bahawa kekeliruan mengenai istilah “magic mushroom” dan dakwaan kononnya produk berkenaan berasaskan bahan bersifat semula jadi atau tidak berbahaya telah dieksploitasi oleh penjual untuk menarik pengguna muda, terutamanya apabila vape dipromosikan sebagai gaya hidup moden dan selamat.
Dr Anne Yee memberi amaran bahawa walaupun kesan penggunaan mungkin dirasai dengan cepat, kerosakan sebenar terhadap kesihatan berpotensi hanya muncul dalam jangka panjang, dengan akibat yang lebih serius dan sukar dipulihkan.
-BTSMedia.my



