BTS Media

Akmal gesa UMNO keluar kerajaan, kerjasama dengan PAS kerana sokongan Melayu merosot

KETUA Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh, menggesa parti itu supaya menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan beralih arah untuk menjalin kerjasama dengan PAS.

Berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO,  Akmal mendakwa peranan UMNO dalam kerajaan ketika ini telah memaksa parti itu bertolak ansur dalam perkara yang dianggap sebagai “garisan merah” melibatkan hak orang Melayu dan agama Islam.

Beliau menjelaskan kononnya pertelingkahan sesama orang Melayu telah melemahkan bangsa tersebut sehingga memberi keuntungan kepada pihak lain.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penyatuan orang Melayu kini merupakan satu keperluan mendesak dan perlu diterajui oleh dua parti berasaskan Melayu yang beliau dakwa adalah terbesar, iaitu UMNO dan PAS.

Akmal berkata apa gunanya UMNO berada pentadbiran persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kerajaan perpaduan akan terus kekal jika pun UMNO meninggalkan gabungan Pakatan Harapan.

Beliau menegaskan jika UMNO tidak lagi dihormati, pihak lain dialu-alukan untuk memerintah tanpa penglibatan mereka kerana UMNO bukanlah sebuah parti yang sekadar menjadi pelengkap bilangan.

Mengenai kebimbangan sekiranya UMNO kembali menjadi pembangkang, beliau mengingatkan bahawa parti itu pernah bangkit selePAS kekalahan Pilihan Raya Umum 2018 dengan memenangi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), termasuk di Tanjung Piai, Johor.

Beliau menekankan bahawa UMNO tidak akan tumbang kerana kehilangan kuasa, sebaliknya hanya akan runtuh jika tunduk tanpa maruah.

Berhubung pendirian Pemuda UMNO ini, penganalisis Ilham Centre, Mujibu Muis, mendedahkan bahawa UMNO kini sedang berhadapan dengan hakisan sokongan yang ketara dalam kalangan pengundi Melayu.

Berdasarkan tinjauan pada suku ketiga tahun 2025, Mujibu menjelaskan bahawa kemerosotan itu sebahagian besarnya didorong oleh rasa tidak puas hati terhadap kerjasama UMNO dengan DAP. Meskipun saiz sampel tepat tidak didedahkan, beliau menganggarkan sokongan Melayu terhadap Barisan Nasional telah jatuh di bawah paras 25 peratus, dengan kira-kira 55 peratus pengundi telah beralih arah manakala 30 peratus lagi kekal sebagai penyokong setia.

Dapatan tinjauan tersebut turut menunjukkan bahawa 62 peratus responden menolak kerjasama UMNO dengan DAP, manakala hanya 15 peratus menerimanya dan 23 peratus lagi masih belum membuat keputusan. Bagaimanapun, Mujibu menambah terdapat segelintir pengundi yang masih menyokong kehadiran UMNO dalam kerajaan atas faktor kestabilan politik, kepatuhan kepada titah Yang di-Pertuan Agong, serta usaha pemulihan ekonomi negara.

-BTSMedia.my

Leave a Comment