PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) memaklumkan bahawa model kenderaan elektrik terbaharunya, QV-E, berisiko dikunci atau dinyahaktifkan dari jarak jauh sekiranya pemilik gagal menjelaskan yuran sewaan bateri selama dua bulan berturut-turut.
Menurut syarat dan ketetapan program “Battery as a Service” (BaaS), syarikat itu berkata ia berhak menyahaktifkan sistem pencucuhan dan operasi bateri sekiranya pembayaran sewaan tidak dibuat dalam tempoh dua bulan.
Perodua turut menegaskan bahawa kegagalan berterusan untuk membuat bayaran boleh menyebabkan kelayakan pelanggan menuntut jaminan prestasi bateri digantung.
Syarikat itu menjelaskan bahawa sekiranya tunggakan memasuki dua bulan berturut-turut, fungsi menghidupkan kenderaan atau operasi bateri boleh dinyahaktifkan sepenuhnya, sekali gus menghalang kereta daripada digunakan.
Mereka juga mengingatkan bahawa perjanjian sewaan akan ditamatkan sekiranya kegagalan pembayaran berterusan sehingga bulan ketiga.
Berdasarkan ketetapan BaaS, pelanggan diwajibkan menyewa bateri EV tersebut untuk tempoh sembilan tahun (108 bulan) dengan bayaran RM275 sebulan.
Sebelum menerima kenderaan, pembeli perlu membuat bayaran pendahuluan bersamaan tiga bulan sewaan bernilai RM825, yang akan diimbangi dengan bayaran pada bulan-bulan terakhir kontrak. Pembayaran bulanan perlu dijelaskan sebelum atau pada 5 haribulan setiap bulan.
Pelanggan akan ditawarkan perjanjian sewaan bateri baharu selepas tempoh sembilan tahun tamat, melibatkan bateri dengan kapasiti lebih tinggi.
Namun, sekiranya tahap kesihatan bateri sedia ada masih melebihi 70 peratus, pemilik boleh terus menggunakannya tanpa caj bulanan sehingga tahap kesihatannya menurun di bawah paras tersebut.
Dalam masa sama, Perodua telah mengemas kini helaian pendedahan BaaS dan membuang klausa yang sebelum ini menyatakan kenderaan serta bateri hanya boleh digunakan bagi tujuan patuh Syariah. Syarikat itu juga menjelaskan bahawa bateri berkenaan disewakan di bawah konsep Syariah berasaskan Operating Ijarah.
-BTSMedia.my



