SEORANG aktivis Turkiye mendakwa askar Israel menarik dan menanggalkan tudung peserta wanita Global Sumud Flotilla (GSF) selepas mereka ditahan.
Dakwaan tersebut turut disokong oleh seorang sukarelawan dari Malaysia yang menceritakan layanan serupa ketika berada dalam tahanan.
Sekembalinya ke Turkiye selepas dibebaskan, aktivis Turkiye Semanur Sonmez Yaman dalam satu temu bual video berkata bahawa tudung para tahanan wanita Muslim dirampas oleh askar Israel di penjara.
Dia menceritakan, akibat daripada tindakan itu, mereka terpaksa menggunakan kemeja sebagai penutup kepala.
Susulan itu, Yaman berkata beberapa aktivis lain memberikan T-shirt mereka kepada para wanita Muslim untuk digunakan sebagai tudung sementara.
Beliau menegaskan bahawa tindakan pihak berkuasa Israel itu jelas mencabuli hak wanita Muslim dan mencerminkan penindasan yang dihadapi oleh para aktivis dalam misi kemanusiaan tersebut.
Kenyataan itu diakui oleh Iylia Balqis Suhaimi, seorang sukarelawan Malaysia berusia 28 tahun yang juga ditahan.
Menerusi sebuah video yang dikongsi di media sosial, beliau berkata askar Israel tidak menunjukkan sebarang rasa hormat terhadap wanita Muslim yang memakai tudung.
Iylia Balqis menyifatkan layanan yang diterima sebagai “menjijikkan,” dan berkata pihak berkuasa Israel langsung tidak menghiraukan keperluan mereka untuk menutup aurat.
Dia menambah, walaupun para pegawai Zionis itu mendakwa tindakan tersebut mengikut protokol, namun ia amat menghina.
Kedua-dua aktivis tersebut adalah sebahagian daripada misi GSF ke Gaza.
Iylia Balqis bersama 22 sukarelawan Malaysia yang lain telah dibebaskan dan selamat tiba di Istanbul.
 – BTSmedia.my