SKIM subsidi bersasar RON95 yang bakal dilaksanakan akan menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran dan tidak akan bergantung semata-mata pada penggunaan MyKad untuk urusan pembelian.
Proses tersebut direka untuk berjalan dengan lancar dan tidak membebankan orang ramai, sekaligus mengelakkan sebarang kesulitan seperti keperluan untuk beratur panjang di stesen minyak.
Ini dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Sabah di Penampang hari ini.
Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana mereka boleh mengakses subsidi itu dengan lebih mudah dan cepat melalui pelbagai kaedah.
Menurut beliau, orang ramai boleh menggunakan aplikasi yang disediakan oleh syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan Aplikasi Shell, selain daripada kaedah pembayaran menggunakan terminal di dalam atau di luar stesen.
Armizan turut menegaskan, walaupun kelayakan untuk menerima subsidi akan dipautkan kepada data MyKad, kaedah pembayaran sebenar di pam tidak terhad kepada satu cara sahaja.
 – BTS Media