BTS Media

Kekejaman Israel berterusan di Gaza: Orang awam masih menjadi mangsa

GAMBAR: Anadolu.

AGENSI pertahanan awam Gaza berkata bahawa tentera Israel telah membunuh 21 lagi orang awam yang sedang menunggu bantuan di GazaPalestin pada hari Selasa.

Kumpulan hak asasi manusia dan agensi PBB mengecam sistem yang disokong Amerika Syarikat untuk mengagihkan makanan di sana.

Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, memberitahu media bahawa 21 orang terbunuh dan kira-kira 150 cedera akibat tindakan tentera Israel menyasarkan perhimpunan rakyat yang menunggu bantuan makanan di bahagian tengah Semenanjung Gaza dengan tembakan oleh anggota tentera dan tembakan kereta kebal pada awal pagi hari Selasa.

Beberapa rakaman video yang tular menunjukkan penduduk yang cedera dibawa ke hospital berdekatan.

Seorang penduduk, Rabhi al-Qassas, bertanya kepada AFP berapa lama lagi keadaan ini akan berterusan dan berapa lama mereka perlu menanggungnya.

Pihak tentera Israel berkata bahawa perhimpunan semalaman telah dikenal pasti berlaku di kawasan “bersebelahan” dengan kedudukan tenteranya di koridor Netzarim di tengah Gaza, di mana kumpulan bantuan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) mengagihkan makanan.

Pihak tentera hanya sekadar berkata kejadian itu “sedang disemak”.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, ramai penduduk Palestin berkumpul berhampiran koridor Netzarim setiap malam dengan harapan untuk mendapat bekalan makan.

Penduduk Gaza yang melebihi dua juta orang kini berdepan dengan kebuluran akibat sekatan Israel.

GHF, organisasi swasta disokong AS dan Israel, dibawa masuk ke Gaza pada akhir bulan Mei untuk menggantikan operasi bantuan yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

PBB mengutuk pengagihan terkawal makanan yang dijadikan senjata oleh AS dan Israel terhadap penduduk Gaza.

Badan dunia itu juga mengecam kezaliman tentera Israel melepaskan tembakan ketika orang ramai dihulurkan makanan.

PBB dan kumpulan bantuan utama enggan bekerjasama dengan GHF kerana agenda yang jelas sekadar memenuhi matlamat ketenteraan Israel.

Menurut angka yang dikeluarkan pada hari Sabtu oleh kementerian kesihatan di Semenanjung Gaza yang ditadbir Hamas, sekurang-kurangnya 450 orang terbunuh dan hampir 3,500 cedera akibat tembakan Israel ketika mendapatkan bantuan sejak akhir bulan Mei.

Kebanyakan pembunuhan berlaku berhampiran tapak yang dikendalikan oleh GHF untuk kononnya mengagihkan makanan.

Pada hujung minggu lepas, ketua pejabat kemanusiaan PBB di wilayah Palestin, Jonathan Whittall, telah mengecam “corak mengerikan di mana tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berkumpul untuk mendapatkan makanan.”

Hari Selasa juga menyaksikan lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di Gaza City pada waktu subuh.

Sekatan Israel terhadap media di Semenanjung Gaza dan kesukaran mengakses beberapa kawasan bermakna wartawan tidak dapat mengesahkan secara bebas jumlah korban dan butiran yang diberikan oleh pasukan penyelamat dan pihak berkuasa di wilayah Palestin.

Sementara itu, pemimpin pembangkang Israel menyeru agar perang di Gaza dihentikan pada hari Selasa, selepas Israel mengumumkan bahawa ia telah bersetuju untuk gencatan senjata dengan Iran selepas 12 hari perang.

Menulis di platform media sosial X, Yair Lapid berkata kini sudah tiba masanya untuk menamatkan perang di Gaza, dan membawa pulang tebusan.

-BTS Media

Leave a Comment