SAHAM Eco-Shop Marketing meningkat pada hari pertama penyenaraiannya pada hari Jumaat, justeru muncul sebagai tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia tahun ini dan melahirkan seorang lagi bilionair baharu.
Saham syarikat itu pada mulanya melonjak sebanyak 10.6% sebelum menurun sedikit.
Eco-Shop, yang menjual barangan rumah pada harga tetap RM2.60, berjaya mengumpul RM974 juta, dengan nilai syarikat kira-kira $1.5 bilion.
Ini merupakan IPO terbesar sejak tawaran 99 Speed Mart Retail pada bulan September.
Ketua Pegawai Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata bahawa keadaan ekonomi semasa menjadikan model perniagaan Eco-Shop amat menarik, Â kerana ia membantu pelanggan memaksimumkan perbelanjaan mereka.
Beliau menambah bahawa pertumbuhan pendapatan penduduk yang dijangka bagi tempoh dua tahun akan datang menawarkan potensi pasaran besar dan ruang untuk pengembangan.
Syarikat itu merancang untuk membuka 70 cawangan baharu setiap tahun untuk tempoh lima tahun akan datang, sekali gus menggandakan jumlah kedainya susulan IPO.
Penyenaraian ini dilihat sebagai petunjuk positif bagi pasaran Malaysia, yang mengalami kelembapan momentum IPO selepas 55 penyenaraian pada tahun 2024.
Walaupun saham IPO Eco-Shop akhirnya ditetapkan pada harga yang lebih rendah daripada jangkaan awal, ia menunjukkan minat berterusan terhadap jenama pengguna berpendapatan rendah.
Diasaskan pada tahun 2003 oleh Lee Kar Whatt dan rakan kongsinya, Eco-Shop kini mengendalikan 350 kedai di seluruh Malaysia.
Lee, yang pegangan sahamnya selepas penyenaraian dianggarkan bernilai $1.15 bilion, masih bekerja dari ibu pejabat syarikat di Jementah, Johor.
Untuk mengawal kos dan kualiti lebih baik, Eco-Shop berhasrat untuk mengembangkan portfolio jenama dalamannya, yang kini menyumbang lebih daripada separuh jualan syarikat itu.
Ng juga berkata bahawa kumpulan itu mempunyai mekanisme yang membolehkan mereka mengekalkan kos produk import pada tahap minimum.
Eco-Shop, yang menawarkan pelbagai jenis produk, dari makanan ringan hingga ke alat tulis dan produk pembersih, mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 45% tahun ke tahun kepada RM61.7 juta untuk tempoh tiga bulan berakhir bulan Februari, dengan hasil meningkat 17% kepada RM736 juta.
Walaupun persaingan semakin sengit dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutama daripada syarikat pesaing yang sudah kukuh seperti Mr DIY Group dan syarikat-syarikat baharu yang dikendalikan oleh usahawan dari tanah besar China, Ng menegaskan bahawa Eco-Shop dapat mencipta pengkuhususannya sendiri, kerana syarikat itu menguasai 68% pasaran dalam sektor kedai diskaun di negara ini.
Beliau menekankan bahawa jenama Malaysia secara amnya “baik dari segi operasi” dan kebanyakannya, termasuk Eco-Shop, kini menjadi kemestian pelanggan disebabkan skala yang dicapai dalam kategori masing-masing serta ketahanan dalam memenuhi permintaan domestik.
-BTS Media