BTS Media

India lancar serangan ke atas Pakistan

INDIA telah mula menyerang Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan pada hari Rabu.

Laporan awal media berkata sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh setakat ini.

Islamabad segera mengecam serangan itu sebagai “terang-terangan tindakan perang”, justeru menandakan peningkatan ketara dalam pertikaian mengenai wilayah Kashmir dan dilihat sebagai paling sengit antara dua negara kuasa nuklear tersebut dalam lebih dua dekad.

Serangan India, yang dinamakan “Operasi Sindoor,” menyasarkan sembilan lokasi di dalam Pakistan, yang didakwa New Delhi sebagai pangkalan “pengganas” untuk mengatur serangan terhadap India.

Tindakan ini menyusuli serangan bulan lalu di wilayah Kashmir ditadbir India yang mengakibatkan 26 pelancong beragama Hindu terbunuh.

India mendakwa penglibatan militan yang berpangkalan di Pakistan, tetapi dinafikan sekeras-kerasnya oleh Islamabad.

Dalam serangan semalam, Pakistan berkata enam lokasi disasarkan oleh tentera India.

Sumber pertahanan India memaklumkan kepada Reuters bahawa ibu pejabat kumpulan militan Islam Jaish-e-Mohammed dan Lashkar-e-Taiba adalah antara lokasi yang diserang.

Satu kenyataan daripada India berkata kononnya serangan yang dilancarkan itu dilakukan secara “teratur dan berhati-hati.”

Sebaliknya, Pakistan mendakwa bahawa India menggunakan peluru berpandu dalam serangannya terhadap tiga lokasi.

Seorang jurucakap kerajaan Pakistan memberitahu Reuters bahawa tentera Pakistan telah menembak jatuh lima pesawat India.

Menurut penduduk yang menyaksikan serangan tersebut, dan maklumat polis, pengeboman sengit dan tembakan senjata berat berlaku di sepanjang sempadan de facto wilayah Himalaya itu.

Kementerian luar Pakistan berkata jet pejuang India yang walaupun masih berlegar di ruang kawasan India jelas telah melanggar kedaulatan Pakistan menggunakan senjata jarak jauh, dan menyasarkan penduduk awam dalam apa yang disifatkannya sebagai “tindakan perang.”

Serangan ini dilihat sebagai perkembangan ketara keganasan setelah wilayah Kashmir menikmati ketenangan relatif sejak gencatan senjata tahun 2003, yang dipersetujui semula oleh kedua-dua negara pada tahun 2021.

Serangan yang disasarkan, terutamanya oleh India ke atas wilayah Pakistan di luar Kashmir yang ditadbir Pakistan, amat jarang berlaku.

Berikutan serangan terbaharu ini, ibu kota wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan, Muzaffarabad, dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Seorang jurucakap tentera Pakistan berkata bahawa selain daripada lapan kematian, 35 individu cedera dan dua masih hilang.

Stesen TV India CNN News-18, yang memetik beberapa sumber India, melaporkan 12 “pengganas” terbunuh dan sekurang-kurangnya 55 orang cedera dalam serangan India itu, walaupun media tidak dapat mengesahkan maklumat tersebut setakat ini.

TV India menyiarkan rakaman video apa yang dilaporkan sebagai kejadian letupan, kebakaran, kepulan asap menjulang ke langit malam, dan orang ramai melarikan diri dari pelbagai lokasi di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Bagaimanapun, media antarabangsa setakat ini belum dapat mengesahkan ketulenan rakaman tersebut secara bebas.

Saksi dan seorang pegawai polis berhampiran sempadan di Kashmir yang ditadbir India melaporkan mendengar letupan kuat dan tembakan meriam, serta deruman pesawat pejuang di udara.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif berkata bahawa Islamabad sedang melancarkan serangan balas terhadap serangan India, tetapi tidak mengulas lanjut mengenai butirannya.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyifatkan keadaan itu sebagai “memalukan,” sambil menyatakan harapan untuk penyelesaian yang cepat.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, melalui seorang jurucakap, menyeru agar kedua-dua negara menahan diri sepenuhnya dari segi ketenteraan.

Susulan serangan itu, wilayah Punjab di Pakistan telah mengisytiharkan darurat. Semua hospital dan perkhidmatan kecemasan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Seorang jurucakap tentera Pakistan memaklumkan kepada TV Geo bahawa dua masjid antara lokasi yang diserang  India, sementara menteri pertahanan Pakistan pula berkata semua yang disasarkan adalah lokasi awam dan bukan kem militan.

Pakistan menafikan sebarang penglibatan dalam kejadian serangan militan di Kasmir pada bulan April.

Berita mengenai serangan itu segera menjejaskan niaga hadapan saham India, dengan indeks penanda aras NSE Nifty 50 jatuh 1.19% di pusat kewangan GIFT city.

Beberapa syarikat penerbangan, termasuk syarikat penerbangan terbesar India, IndiGo, Air India, dan Qatar Airways, membatalkan penerbangan di wilayah India dan Pakistan berikutan penutupan lapangan terbang dan ruang udara.

Serangan India itu merupakan peningkatan ketara di luar tindak balas New Delhi sebelum ini terhadap serangan di Kashmir dikaitkan dengan Pakistan, termasuk serangan udara tahun 2019 berikutan kematian 40 anggota polis separa tentera India dan tindakan balas terhadap kematian 18 askar pada tahun 2016.

-BTS Media

Leave a Comment