BTS Media

Manfaat insurans percuma Sabah: Berkesan jangka panjang?

BAGAIMANA mekanisme pengurusan, sumber pendanaan, dan petunjuk kejayaan skim insurans kelompok percuma Sabah akan dilaksanakan dan dijamin dalam jangka panjang menjadi persoalan utama dibangkitkan pelbagai pihak.

Inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan liputan insurans percuma kepada 3.5 juta penduduk Sabah, bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028, menimbulkan persoalan mengenai perincian pelaksanaannya.

Yang utama, bagaimana kerajaan akan membiayai program berskala besar ini, terutama jika keseluruhan kos ditanggung oleh dana negeri, dan bagaimana ia akan mempengaruhi peruntukan untuk sektor-sektor penting lain seperti kesihatan dan pendidikan.

Selain itu, timbul keraguan mengenai kesinambungan skim ini selepas tempoh tiga tahun yang ditetapkan.

Tanpa rangka dasar yang lebih komprehensif, dikhuatiri program ini hanya akan menjadi langkah jangka pendek dengan impak sosial yang terbatas.

Proses pemilihan syarikat milik kerajaan negeri, Progressive Insurance Bhd, , untuk mengendalikan skim ini juga dipersoalkan.

Terdapat gesaan agar kerajaan menjelaskan sama ada pemilihan dilakukan melalui tender terbuka atau rundingan terus, demi menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam.

Mekanisme pendaftaran “automatik” turut menjadi perhatian, dengan keperluan untuk penjelasan bagi mengelakkan isu pertindihan data, pengecualian individu layak, serta potensi penyalahgunaan sumber.

Kecukupan jumlah perlindungan insurans sebanyak RM10,000 untuk kemalangan diri dan RM500 untuk manfaat kematian dalam menampung kos sara hidup semasa, terutama bagi keluarga yang kehilangan pencari nafkah utama, turut dipersoalkan.

Kerajaan negeri didesak supaya memberikan perincian jelas mengenai bagaimana skim ini akan dipantau dan diukur keberhasilannya dalam jangka panjang. Ini bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat signifikan dan berkesinambungan kepada rakyat Sabah.

Pengumuman mengenai skim insurans percuma ini dibuat oleh Menteri Kewangan Masidi Manjun selepas mesyuarat mingguan Kabinet Sabah pada hari Rabu (9 April).

Beliau berkata ia akan ditawarkan tanpa kos kepada individu yang layak, dari bayi hingga warga emas berusia 80 tahun, dengan proses tuntutan mudah dan pembayaran dalam tempoh 14 hingga 30 hari selepas dokumen lengkap diserahkan.

Inisiatif ini disebut sebagai komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat, terutama golongan B40.

-BTS Media

Leave a Comment