BTS Media

Larangan eksport tidak baik dalam jangka panjang, kata pakar ekonomi Bank Dunia

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Larangan eksport bukanlah penyelesaian untuk mengawal kenaikan harga barangan pengguna dan tidak boleh dilihat sebagai tindakan jangka panjang bagi menyelesaikan masalah itu.

Menurut seorang pakar ekonomi Kumpulan Bank Dunia Apurva Sanghi, walaupun langkah itu mampu “sedikit” mengawal kenaikan harga, namun tindakan meneruskan larangan eksport barangan pengguna dalam jangka panjang akan menjejaskan negara dan ekonomi, selain mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

Beliau memberi contoh larangan eksport ayam yang telah mencetuskan kesan berangkai, salah satunya ialah masalah kekurangan ayam di Singapura.

Singapura kini sedang mencari sumber ayam dari negara lain, termasuk dari Brazil.

Beliau berkata akibatnya, pengeluar Malaysia akan dinafikan pasaran yang lebih luas dan harga yang lebih tinggi untuk produk mereka.

Apabila ini berlaku, mereka akan mengurangkan pelaburan di dalam negara.

Ia juga memberi kesan kepada golongan miskin yang bergantung kepada pertanian. Mereka akan terhimpit oleh keadaan, manakala pendapatan purata isi rumah petani di Malaysia akan didapati kurang daripada B40 biasa.

Sanghi berkata demikian pada sidang akhbar dalam talian sempena pelancaran laporan Pemantau Ekonomi Malaysia “Catching Up: Inclusive Recovery and Growth for Lagging States” di Kota Kinabalu pada 16 Jun. Turut hadir pengurus negara Bank Dunia untuk Malaysia Yasuhiko Matsuda.

Beliau merujuk kepada keadaan di mana 88% daripada projek di Malaysia tertumpu pada pengeluaran beras.

Sebanyak 40 hingga 45% subsidi diberikan kepada pengimportan beras, sementara pengeluaran beras negara pula berkurangan. Memandang keadaan ini Sanghi mencadangkan agar isu tersebut dikaji semula.

Beliau juga berkata perang di Ukraine menunjukkan bahawa Malaysia perlu mencari alternatif untuk produk yang terjejas akibat perang, seperti baja, bagi mengurangkan kos pengeluaran makanan.

Matsuda pula berkata pelaburan dalam infrastruktur awam dan modal insan adalah penting bagi negeri seperti Sabah dan Kelantan jika masing-masing ingin memulihkan ekonomi pada pasca pandemik Covid-19.

Beliau berkata Sabah adalah negeri pengeluar hasil pertanian dan dalam jangka panjang ia boleh mempelbagai, bertindak lebih agresif ke arah industrialisasi dan menarik lebih banyak pelaburan dari negara lain.

-BTS Media

Leave a Comment