POLIS sedang menyiasat klip video tular yang memaparkan sebuah organisasi tidak berdaftar didakwa mempromosikan ideologi komunis di negara ini.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman (USJT) di bawah Seksyen 41/43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata PDRM memandang serius dakwaan sedemikian kerana sebarang usaha untuk menghidupkan kembali ideologi komunis, sama ada secara halus atau terbuka, adalah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara, dan mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.
Beliau menegaskan bahawa PDRM memandang serius dakwaan tersebut.
Razarudin berkata tindakan undang-undang boleh diambil terhadap usaha melemahkan kedaulatan negara atau memperkenalkan ideologi yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan, video atau gerakan yang boleh mengganggu keharmonian kaum.
Razarudin menggesa orang ramai supaya melaporkan aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi dan tidak menyebarkan kandungan tidak sah kerana ia boleh menimbulkan salah faham serta memburukkan keadaan.
Video tular sepanjang dua minit dan 57 saat itu didakwa mempromosikan penyatuan semula China dan Taiwan serta cuba menyebarkan ideologi komunis di Malaysia.
-BTS Media