GAMBAR: Mohd Noor (dua dari kiri)
MENURUT laporan susulan, Mohd Noor Saad, penjual petai berusia 67 tahun yang videonya menjadi viral selepas bertengkar dengan pegawai penguat kuasa, sedang mengumpul dana untuk pembedahan katarak isterinya.
Mohd Noor menjelaskan bahawa dia tidak menjual petai menggunakan motosikal setiap hari, kerana ia bergantung kepada bekalan, yang diperolehnya daripada Orang Asli di Kuala Pilah.
Menurut Mohd Noor, petai adalah bermusim, dan dia menjualnya apabila ada untuk menambah pendapatan dan menyara isterinya.
Dia kadangkala menjual daun ubi kayu untuk mengumpul wang bagi pembedahan katarak isterinya.
Mohd Noor berkata biasanya dia membawa 30 ikat petai pada satu masa, dan menjual sepapan enam biji dengan harga RM10.
Dia bertekad untuk terus bekerja selagi mempunyai kekuatan, kerana tidak mahu membebankan dua anaknya yang telah berkahwin.
Selain itu, Mohd Noor juga menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Mengenai kejadian viral itu, NST melaporkan bahawa Mohd Noor berharap perkara itu tidak dipanjangkan.
Dia mengesahkan bahawa pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson berkunjung ke rumahnya untuk menyelesaikan perkara tersebut, dan menawarkan permit perniagaan sementara.
Mohd Noor turut menerima bantuan kewangan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan.
Dia mengakui berasa marah semasa kejadian itu, tetapi berkata kini sudah kembali tenang apabila pulang ke rumah.
Mohd Noor menyatakan rasa terkejut kejadian itu dirakam dan menjadi viral.
Apa pun, di sebalik kejadian itu, Mohd Noor berkata apa yang berlaku membawa hasil positif, kerana dia telah menerima tawaran bantuan, termasuk daripada ahli parlimen, dan lesen operasi.
Semasa kejadian itu, Mohd Noor yang dalam keadaan kecewa dan marah telah membuang petainya ke jalan raya kerana membantah tindakan pegawai penguat kuasa yang menyuruhnya berhenti menjual dari motosikalnya.
Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, dengan sesetengah orang ramai menggesa pihak majlis supaya menggunakan budi bicara, memandangkan dia menjual dari motosikal dan bukan gerai tepi jalan.
-BTS Media