BTS Media

Enjin pesawat American Airlines terbakar selepas mendarat di Denver

KEBAKARAN enjin memaksa sebuah pesawat American Airlines dilencongkan ke Denver, Colorado, Amerika Syarikat pada hari Khamis (13 Mac), dan semua penumpang bergegas menggunakan gelongsor kecemasan untuk meninggalkan pesawat tersebut.

Menurut syarikat penerbangan itu, kesemua 172 penumpang dan enam anak kapal berjaya  keluar daripada pesawat, tetapi Lapangan Terbang Antarabangsa Denver melaporkan 12 orang dibawa ke hospital dengan kecederaan ringan.

Penerbangan American Airlines 1006 dari Colorado Springs yang menggunakan pesawat Boeing 737-800 itu mendarat di Denver sekitar pukul 5.15 petang (2315 GMT), selepas dilencongkan dari laluan menuju Dallas, Texas setelah juruterbang melaporkan getaran serius pada bahagian enjin, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Beberapa video dramatik penumpang berdiri di atas sayap pesawat ketika asap keluar dari enjin telah dimuat naik ke media sosial.

Menurut seorang penumpang penerbangan dari Pittsburgh yang baru tiba di pintu lapangan terbang Denver berkata, dia melihat pancaran api bersama asap pada enjin pesawat American Airlines itu.

Menurut laman web penjejakan FlightRadar24, pesawat yang berusia 13 tahun itu menggunakan  dua enjin CFM56 keluaran CFM International, sebuah usaha sama antara syarikat GE dan Safran.

FAA berkata kejadian sedang disiasat, sementara seorang jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Denver berkata api telah dipadamkan dan operasi penerbangan diteruskan seperti biasa.

Pihak Boeing dan GE enggan memberi komen.

Kejadian kebakaran enjin itu adalah yang terbaharu dalam siri insiden penerbangan berprofil tinggi, dan  menimbulkan persoalan mengenai keselamatan penerbangan di AS, termasuk perlanggaran udara pada 29 Januari antara jet domestik American Airlines dan sebuah helikopter tentera darat yang mengorbankan 67 orang.

Bulan lepas, penerbangan domestik pesawat Delta Air Lines terbalik semasa mendarat di Lapangan Terbang Toronto Pearson, Kanada dalam angin kuat selepas ribut salji, dan mencederakan 18 daripada 80 orang di dalam pesawat.

Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines, Robert Isom, dan Ketua Pegawai Eksekutif Delta, Ed Bastian, pada hari Selasa berkata nahas udara sejak kebelakangan ini adalah punca kemerosotan bilangan penumpang udara di AS, selain ketidaktentuan ekonomi.

-BTS Media

Leave a Comment