ORANG ramai kini bergelut untuk mencari minyak masak sawit dalam botol di tengah-tengah kekurangan minyak masak paket sejak berbulan-bulan.
Masalah bekalan, yang semakin teruk sejak awal tahun, menjejaskan pasar raya dan kedai runcit di seluruh bandar, justeru memaksa sesetengah pengguna beralih kepada alternatif yang lebih mahal.
NST melaporkan seorang pengguna, Mohd Nor Sagi, 75, dari Plentong, Johor berkata keadaan itu amat mencabar ketika orang ramai sedang bersiap untuk menyambut Aidilfitri.
“Sebelum ini, hanya minyak masak paket sahaja yang tidak ada. Sekarang, minyak sawit dalam botol, dari satu hingga lima kilogram juga kehabisan stok.”
“Semalam, saya tiada pilihan selain membeli minyak sayuran yang jauh lebih mahal untuk keluarga saya,” katanya.
Pengurus besar Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam, mengesahkan kepada NST bahawa kekangan bekalan bermula akhir tahun lalu dan semakin teruk sejak beberapa bulan kebelakangan.
“Ini kali pertama kami berdepan isu sebegitu. Pembekal minyak mendakwa mereka tiada stok,” katanya.
Dia menambah, harga minyak sawit mentah yang telah melonjak daripada RM4,000 setan metrik pada bulan September kepada RM4,300-RM4,500 pada masa ini, menyebabkan gangguan bekalan.
“Pada bulan Januari dan Februari, kami hanya menerima 25 peratus daripada tempahan. Jika kami menempah 100 tan, kami hanya mendapat 25 tan, justeru mencatatkan kekurangan sebanyak 75 tan,” katanya.
Penjual makanan juga menyuarakan kekecewaan. Mereka berkata kekurangan itu memberi kesan teruk kepada perniagaan, terutamanya ketika permintaan Ramadan meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Lee Ting Han berkata tiada aduan rasmi diterima tetapi memberi jaminan bahawa keadaan sedang dipantau.
“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya, jika perlu,” katanya.
-BTS Media