GAMBAR: Utusan
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya menumpukan siasatan terhadap laporan media berkait dakwaan rasuah membabitkan ejen pekerja asing dan pegawai Imigresen di pintu masuk negara, bukannya menahan wartawan yang melaporkan kes tersebut, kata seorang pemimpin PAS.
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan rasuah tersebut, sekiranya benar berpotensi menimbulkan masalah lebih serius dan membahayakan keselamatan serta ekonomi negara berbanding dakwaan peras ugut jenayah yang melibatkan seorang wartawan.
Katanya, wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar itu menulis laporan yang membongkarkan dalang kartel Pakistan yang menyeludup pekerja asing masuk ke negara ini di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
“Tindakan SPRM ini kelihatan agak janggal dari beberapa sudut dan perlu diteliti dengan lebih dekat, terutama dari segi motif, ketepatannya bawah undang-undang dan keutamaannya.
“Sekiranya dakwaan peras ugut jenayah oleh wartawan terbabit benar, bukankah perkara itu sepatutnya dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan bawah Kanun Keseksaan, bukannya diambil tindakan bawah Akta SPRM?” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan penahanan itu berkait penerbitan artikel portal tersebut baru-baru ini, yang mendedahkan kartel pemerdagangan warga asing.
Katanya, wartawan itu ditahan susulan meminta RM100,000 daripada ejen pekerja asing sebagai balasan kerana tidak menyiarkan dua artikel mengenainya, dengan jumlah itu akhirnya dikurangkan kepada RM20,000.
Beliau berkata Nantha direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah.