SEPERTI dijanjikannya pada hari Ahad, Presiden Donald Trump pada hari Isnin menandatangani Arahan Eksekutif bagi menangguhkan penguatkuasaan larangan TikTok selama 75 hari di Amerika Syarikat.
Tindakan itu mengarahkan Jabatan Kehakiman AS untuk tidak menguatkuasakan Akta Permohonan Kawalan Musuh Asing, yang diluluskan dengan sokongan padu dua parti di Kongres dan ditandatangani pada bulan April oleh bekas Presiden Joe Biden.
Undang-undang tersebut mewajibkan pengharaman TikTok bermula 19 Januari, melainkan China bersetuju menjual platform media sosial itu kepada AS.
Di bawah undang-undang berkenaan presiden mempunyai budi bicara luas tentang cara menguatkuasakan larangan itu.
Trump berjanji dalam post di platform milik beliau, Truth Social bahawa beliau akan menandatangani Arahan Eksekutif pada hari Isnin supaya undang-undang tersebut tidak dikuatkuasakan.
Bagi TikTok, tindakan Trump itu sudah memadai untuk memberikan ruang walaupun hanya 14 jam pada hari Sabtu malam hingga ke hari Ahad, sebelum berfungsi semula pada sebelah petang.
Di bawah arahan itu, kelewatan 75 hari akan membantu pentadbiran Trump cuba untuk “menentukan langkah sesuai dengan cara teratur bagi melindungi keselamatan negara sambil mengelakkan penutupan mengejut platform komunikasi (TikTok) yang digunakan oleh berjuta-juta rakyat Amerika.”
Trump memberitahu wartawan pada hari Isnin bahawa beliau mengubah fikiran tentang TikTok kerana beliau juga menggunakannya.”
“Dan ingat, TikTok sebahagian besarnya digunakan oleh kanak-kanak,” kata Trump di Pejabat Oval White House apabila ditanya apa yang mengubah fikirannya.
“Jika kita bimbang China akan mendapatkan maklumat (risikan) tentang anak-anak kecil, secara jujur, saya berasa kita mempunyai masalah yang lebih besar daripada itu.”
Dia juga memberitahu pemberita tindakan yang ditandatanganinya di TikTok memberinya hak untuk sama ada “menjual atau menutupnya.”
Apa pun buat masa ini, nasib TikTok di AS masih tidak menentu. Yang pasti, ByteDance (pemilik TikTok) yang berpangkalan di China, tidak akan tunduk dan menjual platform itu walaupun isu itu diuruskan oleh Trump.
-BTS Media