BTS Media

Bantu Kitar, Kami Bayar

GAMBAR ATAS: Suasana di Pusat Lestari ketika petugas DBKK menguruskan barangan yang dihantar untuk dikitar semula atau
dilupuskan. 

Laporan/Foto: Fauzrina Bulka / Merusin Minuddin

 

KOTA KINABALU – Jika melihat seseorang di tempat pembuangan sampah, usah dipandang jelik kerana mereka sebenarnya orang-orang bijak yang tahu nilai sampah yang mereka kutip.

Kotak, botol minuman, tin kosong ataupun  bekas telur semuanya berharga jika anda tahu nilainya apabila dikitar semula.

Menurut Mayor Dewan Bandar raya Kota Kinabalu (DBKK), Dato’ Sri  Dr. Sabin Samitah, DBKK telah menyediakan sebuah Pusat Lestari yang bertujuan untuk membeli semula barangan kitar semula dan ia juga menjadi pusat pengumpulan e-waste iaitu sisa elektronik yang telah rosak dan tidak berfungsi.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah, Mayor

“Selain daripada itu Pusat Lestari ini juga menjadi tempat untuk menerima sumbangan barang-barang terpakai seperti pakaian, permainan kanak-kanak, buku dan kasut. Ia juga menjadi pusat pembaikan peralatan komputer, elektronik dan juga pusat pengumpulan pakaian-pakaian yang perlu diperbaiki sama ada melalui jahitan dan sebagainya.

“Setakat ini, sambutan cukup baik kerana di Pusat Lestari ini juga kita memberikan peluang kepada warga kota yang ingin menjalankan perniagaan mereka secara kecil-kecilan sebagai contoh mereka boleh mengambil upah untuk menjahit pakaian-pakaian yang rosak atau memperbaiki peralatan elektronik ataupun komputer yang dihantar ke sana.

Suasana di Pusat Lestari ketika petugas DBKK menguruskan barangan yang dihantar untuk dikitar semula atau dilupuskan.

“Jadi bukan saja pusat itu disediakan untuk mereka menghantar barang-barang untuk dilupuskan mengikut tata cara yang ditetapkan, tetapi kalau mereka hendak menghantar di sana untuk diperbaiki pun kita terima juga,”jelas Sabin.

Pusat Lestari yang bertempat di Dewan Masyarakat di buka setiap hari iaitu daripada 8.00 pagi hingga 4.00 petang, manakala untuk pembelian berangan kitar semula dan minyak masak terpakai pula dibuka setiap hari Sabtu sahaja daripada jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang.

Menurut Sabin, semenjak beliau dilantik untuk memegang peranan sebagai Mayor, beliau telah menetapkan visi untuk menjadikan bandar raya Kota Kinabalu ini menjadi livable city ataupun sebuah bandar raya yang boleh dihuni sama ada penduduk yang datang bekerja di sini ataupun yang datang untuk berniaga.

“Saya mahu mereka merasakan bandar raya Kota Kinabalu ini selamat untuk dilawati, sebuah bandar yang memberikan peluang kepada mereka untuk mencari pekerjaan dan pendapatan sekali gus sebuah tempat yang senang dilawati dengan keadaan pantai yang bersih dan juga keadaan prasarana yang baik.

“Saya juga telah menetapkan supaya perkhidmatan yang akan diberikan oleh DBKK berada di tahap yang tinggi untuk memastikan orang-orang yang datang berurusan dengan DBKK merasa selesa, dihormati dan dihargai apabila mereka datang berurusan.

“Saya juga telah menetapkan supaya pengurusan DBKK ini dipertingkatkan dari segi ketulusan dan kebertanggungjawabannya kerana inilah yang diharapkan oleh penduduk di sekitar Kota Kinabalu.

Suasana di Pusat Lestari ketika petugas DBKK menguruskan barangan yang dihantar untuk dikitar semula atau dilupuskan.

“Mereka mengharapkan bayaran melalui cukai ataupun sewa yang diberikan kepada DBKK ini diurus dengan baik dan juga diberikan keutamaan untuk memperbaiki sebarang kerosakan dan juga kelemahan terhadap prasarana yang ada di bandar ini,”ujar Sabin tulus.

Tambahnya, pihak DBKK telah mengadakan dua siri program gotong-royong bersama penduduk di Pulau Gaya baru-baru ini dan telah berjaya mengutip sebanyak 200 tan sampah yang kemudiannya di hantar ke Pusat Pelupusan Sampah di Kayu Madang.

Disebabkan Bandar Raya Kota Kinabalu ini juga dilawati oleh ramai pelancong daripada luar negeri, bilangan sampah yang dijana setiap hari adalah lebih kurang 800 metrik tan dan boleh dikatakan lebih kurang 6000 metrik tan seminggu dan 24000 metrik tan sebulan dan hampir 45 peratus daripada janaan sampah yang dijana tadi datangnya daripada sisa makanan.

Pemungut Sampah mencari rezeki di Kayu Madang

Setakat ini berdasarkan keadaan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Kayu Madang, DBKK baru sahaja menerima landfill yang ketiga pada pertengahan tahun ini daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), maka dijangka ia boleh bertahan sehingga tahun 2029.

Menurut Sabin juga, DBKK juga turut mengambil inisiatif dengan melantik sebuah syarikat untuk membeli tayar-tayar yang terbuang dengan harga yang murah kerana kebanyakan kes berlakunya pembakaran secara terbuka di Kayu Madang tersebut disengajakan oleh orang-orang yang sepatutnya tidak datang ke kawasan tersebut untuk mencari bahan-bahan berharga yang terbuang.

Sabin turut bersyukur dengan respons yang cukup baik daripada masyarakat dalam Kempen Menggunakan Beg Kitar Semula yang mana telah bermula pada 2023 dengan menetapkan tiga hari saja dalam seminggu larangan penggunaan plastik apabila datang membeli belah di premis-premis di sekitar Kota Kinabalu.

Pemungut Sampah mencari rezeki di Kayu Madang

“Tetapi bermula pada bulan Ogos tahun ini, kita telah melaksanakan tujuh hari seminggu iaitu tidak dibenarkan menggunakan beg plastik apabila mereka membeli barang-barang dan ianya mendapat sambutan yang cukup baik.

“Sememangnya di peringkat awal ketika baru diperkenalkan memang kedengaran sedikit rungutan, namun setelah beberapa bulan dilaksanakan, akhirnya kempen itu berjalan dengan baik dan diterima hampir sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

“Dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada penduduk Kota Kinabalu termasuk pelancong dan peniaga yang turut sama menyokong usaha DBKK ini untuk tidak menggunakan plastik,”katanya.

Suasana Pemungut Sampah mencari rezeki di Kayu Madang

Pada yang ingin mendapatkan bantuan daripada DBKK boleh mengakses laman media sosial DBKK di akaun KK Bersih & Hijau sama ada di Facebook ataupun TikTok dan mereka juga boleh menghubungi WhatsApp rasmi yang khusus berkenaan dengan kempen Kitar Semula Barangan Terpakai ini di talian 017-8272217.

Menurut Sabin, mereka turut melibatkan komuniti dan sekolah dan menguar-uarkan kempen mengitar semula barangan terpakai.

“Untuk komuniti, kami sememangnya membantu mereka dari awal hingga akhir dengan memberikan taklimat dan kursus bersama dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat

“Kita juga berkolaborasi dengan agensi pelancongan untuk membawa para pelancong ke kampung mereka.

“Apabila kita menganjurkan acara yang besar, kita juga menjemput mereka untuk membuka pameran dan ada kalanya mereka tidak perlu membayar sewa.

“Dan sudah tentu kami membantu mereka dari segi publisiti juga,”katanya.

Jelas Sabin, DBKK tidak saja melakukan inisiatif ini untuk mengitar semula barang yang terpakai malah untuk memberikan peluang mereka untuk menjana pendapatan.

Petugas DBKK ketika membersihkan Sungai Kalansanan, Inanam

“Sekiranya mereka ini terdiri di kalangan golongan yang miskin ataupun miskin tegar, mereka ini mempunyai peluang untuk keluar daripada kategori itu tadi.

“Selain daripada membantu dari segi latihan, kita juga bantu untuk mendapatkan dana untuk memulakan perniagaan.

“Kita juga membantu mereka cara untuk memasarkan produk-produk tersebut sama ada mempelawa mereka berniaga di pasar malam, ekspo dan juga majlis anjuran DBKK sendiri,”katanya.

Petugas DBKK ketika membersihkan Sungai Kalansanan, Inanam

Sabin amat mengharapkan keterlibatan orang ramai mengambil bahagian untuk mengitar semula barangan terpakai supaya ia bukan saja dapat membantu mereka dari segi penjanaan ekonomi malahan dapat membantu DBKK mengurus sisa pepejal demi kelestarian alam sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

Sesungguhnya, pengajaran pendidikan alam sekitar sangat berkait rapat dengan matlamat negara untuk membina masyarakat yang sensitif dan memiliki pengetahuan yang tepat, kemahiran dan nilai terhadap isu alam sekitar dan berkeupayaan untuk memberi sumbangan kepada penyelesaian masalah.

Tuntasnya, kita semua harus bekerja sama dan memainkan peranan untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar itu sendiri.

-BTS Media

Leave a Comment