HARGA hartanah yang melambung tinggi di kawasan bandar, ditambah dengan gaji rendah, menjadikan hampir mustahil bagi golongan muda membeli rumah di lokasi pilihan.
Keadaan ini mendorong mereka untuk menyewa.
Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, purata harga kondominium atau pangsapuri di daerah Batu di Kuala Lumpur ialah RM735,000, manakala hartanah serupa di daerah Setapak, juga di Kuala Lumpur, berharga RM430,000.
Di Selangor, sebuah rumah teres di daerah Petaling berharga RM750,000, manakala jenis hartanah kategori serupa di Sabak Bernam, yang terletak jauh dari pusat bandar, berharga RM330,000.
Seorang pengurus bank yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu The Star bahawa pekerja berumur antara 24 dan 30 tahun lazimnya berpendapatan rendah dan tidak mampu membeli hartanah di kawasan pusat bandaraya.
“Jika dia bekerja di Kuala Lumpur dan ingin membeli hartanah berdekatan tetapi berpendapatan, antara RM2, 400 dan RM4,000 (sebulan), dia tidak mampu membeli sebarang harta di sana,” katanya.
“Jika harga rumah itu sekitar RM500,000, dia perlu memperoleh gaji sekurang-kurangnya RM4,600 untuk memilikinya.”
Beliau berkata, lazimnya bank akan meminta mereka memohon pinjaman bersama dengan pasangan atau ibu bapa mereka.
Selain itu, bank juga melihat kepada jumlah hutang pemohon, manakala kelayakan pinjaman maksimum 70% daripada pendapatan bulanan mereka.
“Ada yang mungkin mempunyai pinjaman kereta, pinjaman pelajar dan kad kredit (hutang). Jadi, yang tinggal daripada pendapatan mereka untuk kelayakan pinjaman tidak banyak bagi tujuan membeli rumah berharga antara RM350,000 dan RM400,000.
“Itulah sebabnya kebanyakan mereka lebih suka menyewa daripada membeli rumah,” katanya.
Pengurus bank itu berkata rumah yang lebih murah lokasinya lebih jauh dari pusat bandar, tetapi kos perjalanan ke tempat kerja mereka akan lebih mahal dan kurang berbaloi.
Beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan skim sewa milik sendiri supaya golongan muda mampu membeli hartanah yang lebih dekat dengan tempat kerja mereka.
Dalam menentukan kelayakan pinjaman, beliau berkata bank juga akan melihat tempoh bekerja seseorang, iaitu sekurang-kurangnya dua tahun, selain jenis syarikat dan industri yang mereka bekerja.
“Pekerja gig atau secara kontrak tidak begitu digemari oleh bank kerana menganggap pekerjaan sebegitu kurang stabil, terutamanya jika mereka terkesan oleh pandemik atau masalah kewangan,” katanya kepada The Star lagi.
Beliau menambah bahawa bank juga melihat kepada skor kredit seseorang, seperti CTOS. “Jika rekod menunjukkan bahawa pemohon sentiasa mencari kemudahan kredit, ini bermakna dia tidak selamat untuk diberikan pinjaman,” katanya.
Bagi menjana pendapatan tambahan dan lebih layak mendapat pinjaman, beliau menasihatkan golongan muda memohon pinjaman ASB sebaik sahaja mereka bekerja.
“Dividen ASB juga boleh menjadi sumber pendapatan,” tambahnya.
-BTS Media