PORT DICKSON: Keputusan untuk tidak membenarkan kanopi dari pantai di sini adalah untuk memulihkan imej Port Dickson sebagai destinasi pantai utama, kata Exco kerajaan negeri J. Arul Kumar.
Pengerusi jawatankuasa pembangunan, perumahan dan pengangkutan kerajaan tempatan negeri berkata Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) terpaksa mengambil tindakan drastik berikutan banyak aduan daripada pengunjung pantai.
“MPPD telah mengadakan perbincangan dengan peniaga kanopi ini untuk mencari penyelesaian yang baik.
“Tidak lama lagi kami akan menyediakan tempat di mana mereka boleh memasang kanopi, dan kali ini ia akan dilakukan mengikut peraturan kami, “katanya ketika dihubungi, lapor The Star.
Arul berkata demikian sebagai mengulas tindakan MPPD yang mengarahkan peniaga supaya tidak memasang kanopi mulai 18 November.
Notis yang ditandatangani Presiden MPPD Hasnor Abd Hamid telah menjadi tular. Dalam notis itu, Hasnor berkata pemasangan kanopi secara sembarangan telah mencemarkan imej bandar peranginan itu sebagai destinasi pelancongan utama.
Tambahnya, beberapa peniaga telah memburukkan keadaan dengan menghalau pengunjung pantai dari kawasan awam.
Hasnor berkata selain Pantai Telok Kemang, aktiviti seperti itu juga akan diharamkan di Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin.
Sekiranya mereka meneruskan kegiatan itu, mereka akan melanggar Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
MPPD, katanya akan menyita kanopi, meja, kerusi atau apa-apa barangan berkaitan sekiranya peniaga terus melanggar peraturan itu.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, media sosial telah dibanjiri dengan rungutan serta aduan daripada pengunjung pantai mengenai peniaga yang menguasai kawasan awam dengan kanopi, hingga menjadikan kawasan pantai di situ macam pasar tani.
Ramai menceritakan bagaimana mereka dipaksa mengosongkan kawasan awam oleh peniaga yang mendakwa menguasai tempat tersebut. Mereka juga mendakwa dikehendaki membayar purata RM50 untuk sebuah kanopi dengan meja dan beberapa kerusi.
Pengunjung yang memandu di sepanjang Jalan Pantai juga sering merungut tentang bagaimana struktur ini menghalang pandangan mereka di pantai yang indah.
Ramai peniaga yang mendirikan khemah ini terlibat dalam perniagaan pantai dan pelancongan lain.
Arul Kumar berkata beberapa peniaga gagal mematuhi persefahaman sebelum ini dengan pihak berkuasa, di mana mereka diberitahu bahawa mereka hanya boleh memasang khemah jika pengunjung pantai memintanya.
Khemah-khemah itu juga perlu diturunkan serta-merta sebaik sahaja penyewa habis menggunakannya.
Arul Kumar berkata hanya terdapat 44 peniaga yang beroperasi di sepanjang Pantai Telok Kemang, dan MPPD tidak lama lagi akan mengumumkan peraturan di mana mereka boleh beroperasi di sepanjang jalan itu.
“Kami tidak mahu menyusahkan mereka kerana rancangan kami adalah untuk menghalalkan perniagaan mereka.
“Pada masa sama, kami juga perlu melindungi pengunjung pantai dan memastikan mereka mendapat akses ke kawasan awam,” katanya sambil menambah peniaga tidak boleh terus menguasai pantai kerana ini akan menyebabkan pengunjung tidak tertarik untuk ke situ.
-BTS Media