BTS Media

Desakan keadilan untuk pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai, Thailand

MEREKA yang terselamat dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai Tak Bai di selatan Thailand 20 tahun lalu semalam (Jumaat 25 Okt) menyertai anggota keluarga 78 mangsa yang maut dalam trak tentera, menyuarakan kemarahan bahawa pihak yang bertanggungjawab tidak akan dibawa ke muka pengadilan.

Dua puluh tahun selepas tragedi 25 Oktober 2004 yang dikenali sebagai “pembunuhan beramai-ramai Tak Bai”, saudara-mara dan penyokong berkumpul untuk berdoa memperingati mereka yang terbunuh.

Selain mengenangkan ulang tahun kejadian itu, semalam juga merupakan luputnya had tempoh 20 tahun di bawah undang-undang bagi kejadian itu, dan tuduhan membunuh terhadap tujuh suspek akan digugurkan.

Pada hari Khamis lalu, Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra anak Thaksin Shinawatra, perdana menteri ketika kejadian itu telah memohon maaf bagi pihak kerajaan. Beliau, bagaimanapun berkata, tidak mungkin tempoh undang-undang berkaitan kes itu dilanjutkan, walaupun rayuan dibuat oleh pihak yang dimangsakan.

Tragedi itu telah sejak sekian lama menjadi lambang kekebalan kerajaan di wilayah majoriti Islam selatan Thailand, di mana konflik berdarah bergelora bertahun-tahun antara tentera kerajaan dan pejuang pemisah.

“Tiada konsep keadilan semula jadi (natural justice) di negara kita,” Khalijah Musa, yang abangnya, Sari dibunuh di Tak Bai, memberitahu AFP dalam satu temu bual. Dia berkata mereka yang bertanggungjawab sepatutnya menerima hukuman mati.

“Ia (undang-undang) tidak sama… kami di wilayah paling selatan bukan sebahagian daripada keluarga (Thai). Suara kami tidak cukup kuat.”

Setakat ini, konflik di wilayah tersebut menyaksikan lebih daripada 7,000 orang terbunuh sejak bulan Januari 2004 dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dengan pejuang yang menuntut autonomi lebih meluas bagi wilayah itu – wilayah berbeza dari segi budaya daripada lain-lain kawasan yang kebanyakannya penduduk beragama Buddha.

Kira-kira seratus anggota keluarga, mangsa terselamat dan penyokong berkumpul di tanah perkuburan sebuah masjid di wilayah Narathiwat pada pagi hari Jumaat untuk berdoa di kubur besar untuk mangsa Tak Bai.

“Rasanya seperti tragedi itu baru semalam berlaku,” kata Mariyoh Chewae kepada AFP, yang kehilangan abangnya dalam kejadian itu.

“Saya harap negara Thai melayan semua orang sama rata tidak kira agama di bawah undang-undang.”

Dalam kejadian itu, tujuh orang terbunuh apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang memprotes di luar balai polis bandar Tak Bai, wilayah Narathiwat berhampiran sempadan Malaysia.

Selepas itu, 78 orang yang ditahan maut kerana lemas setelah diikat dan dihumban bertindan-tindan ke dalam trak tentera.

Seorang mangsa terselamat, Mariki Doloh, yang terpaksa dipotong kakinya kemudian, berkata dia masih trauma dengan kejadian itu. “Saya hanya melintasi kawasan berkenaan, tetapi ditahan polis.”

“Saya tidak faham mengapa mereka melakukan ini terhadap kami. Saya tidak sangka akan ditahan.”

Pada bulan Ogos lalu, mahkamah wilayah telah menerima kes jenayah yang difailkan oleh keluarga mangsa terhadap tujuh pegawai, termasuk bekas komander tentera yang telah dipilih ke parlimen tahun lepas. Kesemua mereka berjaya mengelak daripada hadir ke mahkamah, justeru menghalang kes daripada diteruskan.

Pada hari Isnin depan mahkamah dijangka secara rasmi menolak pertuduhan, dan sekali gus menamatkan kes yang sinonim dengan kekurangan akauntabiliti di wilayah selatan yang masih di bawah undang-undang darurat.

Tiada seorang pun anggota pasukan keselamatan Thai pernah dipenjarakan kerana pembunuhan di luar undang-undang atau penyeksaan, walaupun telah bertahun-tahun dakwaan penderaan dibuat di seluruh rantau itu.

Pada tahun 2012, kerajaan perdana menteri ketika itu Yingluck Shinawatra, kakak Thaksin dan ibu saudara Paetongtarn telah membayar pampasan kepada keluarga mangsa – masing-masing sejumlah 7.5 juta baht (RM960,000).

Tetapi, Parida Tohle, 72, yang kehilangan anak lelaki tunggalnya, Saroj, 26 kerana meninggal dunia dalam salah satu trak tentera, berkata pampasan itu tidak bermakna.

“Sebagai pertukaran untuk nyawa anak saya, ia tidak berbaloi,” katanya kepada AFP.

-BTS Media

Leave a Comment