BTS Media

Kes enakmen syariah Kelantan ‘luar kebiasaan’ prosedur, tidak kukuh, kata bekas hakim

SEORANG pesara hakim mempersoalkan kewajaran prosiding kes Mahkamah Persekutuan yang membawa kepada pembatalan beberapa peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan kerana didapati bercanggah dengan perlembagaan pada Jumaat.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer berkata, walaupun keputusan majoriti mahkamah itu mungkin betul dari segi undang-undang, prosiding itu “luar kebiasaan” kerana kerajaan persekutuan mahupun peguam pegara tidak dinamakan sebagai pihak dalam tindakan itu.

“Pada pandangan saya, peguam negara berkewajipan campur tangan serta-merta untuk mengetepikan prosiding itu, memandangkan telah berlaku salah laksana keadilan dari segi prosedur dalam kes penting yang melibatkan kepentingan awam.

“Perkara itu mungkin perlu dihujahkan semula, walaupun keputusannya mungkin tidak berubah, kerana kedudukan kerajaan persekutuan mesti menjadi sebahagian daripada rekod dalam kes itu,” katanya kepada FMT.

Hamid berkata, kerajaan persekutuan mesti terlibat dalam prosiding itu, memandangkan kes itu berkisar sama ada sesuatu perkara itu berada dalam domain undang-undang persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika (peguam negara) tidak dinamakan (sebagai pihak), beliau sebagai penjaga kepentingan awam mempunyai kewajipan dari segi undang-undang untuk campur tangan dalam tindakan itu.

Hamid mengulas keputusan majoriti 8-1 Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan DUN tiada kuasa meluluskannya.

Petisyen itu dikemukakan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Hamid memuji satu-satunya penghakiman bertentangan yang dibuat oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Rahman Sebli dengan berkata, hakim tidak boleh mengetepikan peraturan prosedur yang sudah lama wujud semata-mata untuk membetulkan apa yang mereka percaya sebagai menyalahi undang-undang.

“Undang-undang prosedur yang menjadi asas kepada pendapat bertentangan itu betul-betul tepat,” katanya sambil menegaskan, tentangan Rahman tiada kaitan dengan undang-undang substantif terbabit.

Hamid berkata, majoriti di Mahkamah Persekutuan membuat “kesilapan besar” apabila tidak menolak untuk mendengar petisyen itu sama sekali memandangkan bukan semua pihak yang mempunyai kepentingan hadir.

“Dalam keadaan sedemikian, mahkamah perlu menolak mendengar perkara itu atas dasar keadilan asasi yang menjadi asas undang-undang prosedur di banyak negara, termasuk Malaysia,” katanya.

Sebaliknya, kata Hamid, mahkamah sepatutnya mengarahkan supaya peguam negara dijadikan pihak dalam prosiding itu.

“Kesilapan dalam kes ini mungkin membuka ruang kepada orang persendirian yang bukan pihak terkilan untuk mengemukakan cabaran serupa terhadap undang-undang persekutuan dan negeri tanpa melibatkan kerajaan mahupun peguam negara,” katanya.

Dalam penghakiman bertentangannya, Rahman mempersoalkan ketidakhadiran kerajaan persekutuan dalam prosiding itu. Katanya lagi, badan kehakiman perlu memastikan hanya pempetisyen yang mempunyai locus standi dibenarkan mengemukakan kes.

“Pempetisyen gagal menunjukkan kontroversi sebenar antara mereka dengan kerajaan negeri Kelantan atau bagaimana mereka terjejas oleh peruntukan yang berkuat kuasa pada 2021 itu,” katanya.

Penghakiman majoriti itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Hamid mempersoalkan mengapa tiada seorang pun antara tujuh hakim lain yang membentuk majoriti mengeluarkan penghakiman sendiri secara berasingan.

Beliau berkata, normanya di negara-negara seperti England dan India adalah semua atau sebilangan hakim menyatakan pandangan masing-masing dalam kes yang melibatkan perkara kepentingan awam.

“Mengecewakan apabila tiada seorang pun daripada tujuh hakim (yang membentuk majoriti selain Tengku Maimun) menulis penghakiman, sedangkan ini kes penting.

“Bagaimana mereka tangani isu ketidakhadiran peguam negara dan locus standi pempetisyen? Apa pandangan mereka mengenai perkara substantif undang-undang yang dipertikai?

“Mengapa perlu ada sembilan anggota (panel) jika mereka hanya berdiam diri? Kalau begitu, tiga hakim sudah cukup,” kata Hamid.

Beliau berkata, ketika berkhidmat di Mahkamah Rayuan, amalan yang diguna pakai adalah setiap hakim menulis penghakiman berasingan dalam rayuan akhir melibatkan isu perlembagaan yang penting.

Sebagai contoh, Hamid memetik kes Nik Nazmi Nik Ahmad lwn Pendakwa Raya (2014), apabila Hakim Ariff Yusof, yang mempengerusikan panel itu, menghendaki Hakim Mah Weng Kwai dan dirinya menulis penghakiman berasingan.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/02/11/kes-enakmen-syariah-kelantan-luar-kebiasaan-prosedur-tidak-kukuh-kata-bekas-hakim/

Leave a Comment