BTS Media

Rejim Zionis Israel gugur lebih 40,000 tan bom di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober

GAMBAR: Anadolu.

 

Oleh Zainal AS Rashid

PEJABAT media kerajaan Gaza berkata pada hari Ahad bahawa tentera Israel setakat ini telah menggugurkan lebih 40,000 tan bom di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober.

Ia merupakan matlamat jelas untuk menjadikan kawasan itu seperti “padang jarak padang tekukur”, hingga tidak lagi dapat didiami, lapor agensi berita Anadolu.

Agensi itu memetik ketua pejabat media Hamas Salama Maarouf berkata dalam satu kenyataan melalui Telegram pada hari ketiga jeda kemanusiaan sementara antara Israel dan Hamas, yang berkuat kuasa pada pagi hari Jumaat.

Beliau menjelaskan bahawa “bom yang digunakan baru-baru ini oleh tentera penjajah Zionis itu tidak pernah digunakan sebelum ini, dan ratusan syuhada dikebumikan di tempat-tempat di mana mereka terbunuh. Kemusnahan yang dilakukan oleh tentera Israel itu mencerminkan niat untuk menjadikan Gaza wilayah yang tidak dapat didiami.”

Dalam kenyataan itu, Maarouf juga membincangkan jeda sementara, dan menekankan bahawa “hari-hari jeda telah mendedahkan dengan ketara betapa teruknya operasi Israel untuk melalukan pembunuhan beramai-ramai, yang turut mengakibatkan kemusnahan besar kepada infrastruktur dan kediaman.”

“Satu pertiga daripada penduduk Semenanjung Gaza masih belum menerima bekalan asas, dan sikap berdiam diri sebahagian besar institusi antarabangsa adalah amat jelas sekali,” katanya, sambil menyeru masyarakat antarabangsa supaya segera bertindak.

“Terdapat keperluan mendesak untuk penubuhan hospital lapangan yang besar,” tambahnya.

-BTS Media

Leave a Comment