BTS Media

Pesta Buku Frankfurt 2023 cetus kemarahan setelah pengarang Palestin diketepikan, suara Israel ditonjolkan

Oleh Yusoff A. Shariff

PENUNDAAN anugerah kepada seorang penulis Palestin di Pesta Buku Frankfurt (Frankfurter Buchmesse) menerima kecaman pada hari Isnin daripada kalangan penulis terkemuka dunia.

Pihak penganjur mengumumkan bahawa penulis Palestin Adania Shibli tidak akan diangkat untuk menerima anugerah Jerman LiBeraturpreis seperti dirancang.

Ia juga telah menyebabkan beberapa kumpulan penerbitan Arab menarik diri daripada acara perdagangan buku terbesar di dunia itu, lapor AFP.

Susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, penganjur acara tersebut telah mengambil pendirian untuk mengutuk serangan itu, dan bertekad akan sebaliknya membantu mempromosikan suara Israel.

Adania sepatutnya menerima penghormatan untuk bukunya, bertajuk “A Minor Detail,” sebuah karya berdasarkan peristiwa sebenar rogol dan pembunuhan pada 1949 oleh tentera Israel.

Ia dianjurkan oleh kumpulan Litprom, yang menganugerahkannya setiap tahun di Pesta Buku Frankfurt.

Bagaimana pun, kumpulan itu berkata mereka bersolidariti dengan Israel, dan tidak akan meneruskan rancangan penganugerahan tersebut atas alasan “kerana peperangan yang dimulakan oleh Hamas”.

GAMBAR dilesen di bawah Heffloaf, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons

Dalam satu kenyataan, mereka berkata format dan acara penganugerahan itu ditunda ke satu masa yang belum ditentukan.

Keputusan itu dikutuk keras dalam surat terbuka yang ditandatangani lebih 600 penulis, termasuk Abdulrazak Gurnah dan Olga Tokarczuk, kedua-duanya pemenang Hadiah Nobel untuk Kesusasteraan, dan penulis lain termasuk Pankaj Mishra, William Dalrymple dan Colm Toibin.

Penganjur telah “menutup ruang Palestin untuk bersuara”, kata surat itu yang diterbitkan pada hari Isnin.

“Pameran Buku Frankfurt mempunyai tanggungjawab, sebagai pesta buku antarabangsa utama, untuk mewujudkan ruang bagi penulis Palestin berkongsi fikiran, perasaan, renungan mereka tentang sastera melalui zaman yang dahsyat dan kejam ini, dan bukan menutupnya,” tambah kenyataan itu.

Selain kumpulan penulis, kenyataan tersebut juga ditandatangani oleh penerbit dan ejen penulis.

Beberapa kumpulan industri penerbitan Arab mengumumkan pada hujung minggu mereka menarik diri daripada pameran itu, yang berlangsung dari hari Rabu hingga Ahad.

Pihak berkuasa buku Sharjah (Sharjah Book Authority), di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut menarik diri, berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa “kami memperjuangkan peranan budaya dan buku untuk menggalakkan dialog dan persefahaman antara orang ramai. “Kami percaya bahawa peranan ini lebih penting (sekarang) daripada sebelumnya.”

Persatuan Penerbit Emiriah mengeluarkan kenyataan yang sama, manakala akhbar National yang berpangkalan di UAE melaporkan bahawa Persatuan Penerbit Arab di Mesir juga telah menarik diri.

Di Malaysia, Kementerian Pendidikan turut mengumumkan penarikan diri daripada pesta tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment