BTS Media

Isteri saya seorang anak ulama besar, bukan kerabat diraja – Radzi Jidin

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, hari ini, secara terbuka ‘memperkenalkan’ isterinya selepas kedua-dua mereka dikaitkan dengan satu dakwaan tular berhubung kes rasuah bagi projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta.

Radzi yang juga bekas menteri kanan kerajaan terdahulu berkata, isterinya, Balkis adalah anak kepada seorang ulama besar di Kedah dan bukan seorang kerabat diraja bergelar Tengku.

Katanya, tuduhan yang mendakwa dirinya terbabit dalam rasuah itu adalah fitnah yang amat besar dan akan mendapat balasan di akhirat kelak.

“Ada mesej viral di mana-mana yang mendakwa kita menerima RM80 juta daripada satu rundingan terus membabitkan penerbitan atau cetakan buku J-Qaf prasekolah dan dikatakan proksi syarikat membabitkan isteri saya.

“Disebut isteri saya seorang kerabat diraja dan seorang Tengku, jadi saya mahu jelaskan di sini isteri saya bernama Balkis binti Datuk Syeikh Haji Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar.

“Kalau sahabat-sahabat di Kedah tentulah kenal (bapanya) salah seorang ulama besar negeri Kedah yang banyak menerbitkan buku-buku dan banyak bersiar di radio waktu itu,” katanya di Facebook, di sini, hari ini.

Dalam video itu, Radzi dilihat bersama isterinya namun wanita itu hanya mendiamkan diri.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, dakwaan yang mengatakan isterinya ialah kerabat diraja adalah satu fitnah yang begitu jahat.

Katanya, isterinya sebelum ini tidak pernah mencampuri urusan berkaitan Kementerian Pendidikan, ketika beliau menjadi menteri.

“Pada yang membuat fitnah, anda mungkin gembira tetapi jawablah di akhirat. Ini satu perbuatan yang cukup jahat. Bila saya lihat isteri saya seorang tengku, kerabat diraja. Saya tahu ia adalah fitnah jahat.

“Jika sahabat-sahabat nak tahu, sewaktu saya di Kementerian Pendidikan iaitu ketika waktu COVID-19, dia bertanya bila mahu buka sekolah tetapi saya kata, tunggulah pengumuman di televisyen,” katanya.

Radzi berkata, tuduhan itu bertujuan untuk membunuh karakternya.

“Kepada penuduh saya mohon bertaubat dan penyebar untuk insaflah. Fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh.

“Apa yang dilakukan itu sebenarnya untuk membunuh karakter saya dan saya mohon semua untuk mendoakan yang terbaik untuk saya dan keluarga yang dizalimi dalam keadaan sedemikian rupa,” katanya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1156704/isteri-saya-seorang-anak-ulama-besar-bukan-kerabat-diraja-radzi

Leave a Comment