Oleh Zainal AS Rashid
BERIKUTAN mesyuarat sidang maya dengan Elon Musk baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan telah mengarah supaya dipesan 40 unit peranti jalur lebar Satelit Starlink untuk digunakan di sekolah, kolej dan universiti di seluruh negara.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sebanyak 3% kawasan berpenduduk di negara ini tidak ada liputan Internet, dan pihaknya telah membincangkan penyertaan Starlink di kawasan luar bandar.
Starlink ialah rangkaian perkhidmatan jalur lebar Space X yang menggunakan satelit orbit rendah (LEO).
Ia bukan sahaja menawarkan jalur lebar berkelajuan tinggi, tetapi lebih berkesan berbanding satelit geostasioner (GEO).
Sehingga akhir tahun lepas, Starlink telah melancarkan sistem tersebut di lebih 40 negara (kebanyakannya di wilayah Amerika) dan kini dilaporkan telah melepasi jumlah sejuta pelanggan aktif.
Walaupun amat dialu-alukan jika terdapat lebih banyak penyedia jalur lebar, namun timbul beberapa soalan mengenai ketersediaan Starlink untuk pasaran Malaysia yang perlu dijawab.
Untuk menyediakan perkhidmatan di Malaysia, Starlink perlu mendapatkan lesen Kemudahan Rangkaian atau Pembekal Perkhidmatan (NFP/NSP).
Setakat ini, menurut portal SoyaCincau, semakan mendapati bahawa Starlink/Space X belum disenaraikan sebagai pemegang lesen berdaftar di bawah pangkalan data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Seperti sedia maklum, penggunaan peranti atau perkhidmatan yang tidak diluluskan dan tidak mempunyai perakuan oleh pihak selia tempatan adalah satu kesalahan. Sesiapa yang didapati ingkar boleh didenda sehingga RM500,000.
Semasa lawatan bekas Menteri dan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Space X tahun lepas, beliau berkata terdapat beberapa perkara yang masih dipertimbangkan oleh kerajaan mengenai cadangan berkaitan dasar Starlink untuk memperkenalkan perkhidmatan Internet di Malaysia.
Walaupun tidak jelas apakah perkara berkaitan dengan dasar ini, namun terdapat kemungkinan bahawa syarikat itu boleh berusaha mendapatkan 100% pemilikan asing untuk menubuhkan operasi di Malaysia.
Malaysia pada masa ini mempunyai sekatan pelaburan ke atas peratusan saham yang boleh dimiliki oleh syarikat asing sebagai sebahagian daripada syarat lesen. Adakah Space X akan menjalinkan usaha sama dengan rakan kongsi tempatan atau adakah pentadbiran Anwar akan mengetepikan sekatan pemilikan asing untuk syarikat Elon Musk? tanya SoyaCincau.
Seperti yang dilaporkan tahun lepas, Starlink telah mengutip deposit sebanyak AS$99 daripada pengguna Malaysia yang berminat di laman web mereka walaupun tidak mempunyai lesen untuk beroperasi di Malaysia.
Jumlah deposit telah dikurangkan kepada AS$ 9 (kira-kira RM41). Di laman webnya, Starlink menyenaraikan bahawa perkhidmatan itu akan dimulakan di Malaysia pada suku kedua 2023, tetapi setakat ini ia masih belum bermula.
Perlu diingat bahawa perkhidmatan Starlink bukannya murah dan harganya lebih mahal daripada perkhidmatan jalur lebar gentian (fibre optic) biasa.
Sama seperti jalur lebar tanpa wayar, jalur lebar satelit ada hadnya, dan Starlink juga mempunyai Dasar Penggunaan Adil (Fair Usage Policy) sendiri untuk memastikan rangkaian itu boleh digunakan oleh seramai mungkin.
Filipina ialah pasaran pertama Starlink di Asia Tenggara dan kos langganan adalah sebanyak PHP2700 sebulan (kira-kira RM225). Piring satelit Starlink dan alat router WiFi berharga PHP19,999 (kira-kira RM1,663) dan bayaran penghantaran sebanyak PHP1,220 (kira-kira RM102).
Walaupun mudah berasa teruja dengan Tesla dan Starlink milik Elon Musk jika tiba di Malaysia nanti, kita perlu ingat bahawa sekarang pun terdapat pemain tempatan dalam industri teknologi satelit dan angkasa lepas di sini.
Sistem satelit negara, MEASAT adalah salah satu-satunya pemain dominan pada masa ini yang telah membuat pelaburan besar untuk melancarkan MEASAT-3d. Mereka juga akan berusaha untuk membolehkan ketersambungan dan pendigitalan di kawasan yang masih tidak mendapat liputan digital.
Melancarkan satelit sekarang ini mudah dilakukan, tetapi tugas yang sukar ialah memasang titik akses di kawasan sukar dicapai yang tidak mempunyai infrastruktur jalan raya asas atau bekalan elektrik.
Perkhidmatan satelit ConnectMe Now MEASAT setakat ini telah digunakan di 4,000 lokasi tanpa 4G dan satelit baharu itu mempunyai kapasiti untuk menghubungkan 2 juta rakyat Malaysia yang kurang mendapat perkhidmatan dengan kelajuan sehingga 100Mbps.
Baru-baru ini, Angkasa-X juga telah melancarkan satelit LEO pertamanya dengan  menyasarkan pelancaran sebanyak 500 unit untuk menampung 50% kawasan terpencil di ASEAN.
Angkasa-X menyasarkan untuk membentuk dua konstelasi satelit LEO iaitu A-SEANLINK dan A-SEANSAT.
-BTS Media