BTS Media

Syarikat gergasi teknologi Singapura Grab akan berhentikan lebih 1,000 pekerja

Oleh Zainal AS Rashid

GERGASI teknologi yang berpangkalan di Singapura, Grab akan memberhentikan lebih 1,000 pekerja, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya pada Selasa.

Ia dilihat sebagai satu langkah yang akan menjejaskan kira-kira 11 peratus tenaga kerjanya.

Grab dilancarkan pada 2012 sebagai aplikasi tempahan teksi di Malaysia sebelum menjadi firma pengangkutan terbesar di Asia Tenggara dan berkembang ke perkhidmatan pembayaran digital.

Syarikat itu dikatakan dalam proses mengurangkan kerugiannya dan menyasarkan untuk memulihkan keadaan pada hujung tahun ini, lapor AFP.

Dalam satu mesej kepada pekerjanya, Ketua Eksekutif Anthony Tan berkata apa yang dilakukan sekarang bukannya jalan pintas untuk meraih keuntungan, namun walaupun perit ia perlu dilakukan.

“Perubahan tidak pernah sepantas ini. Teknologi seperti Generative AI sedang berkembang dengan pantas. Kos modal yang telah meningkat, secara langsung memberi kesan kepada landskap persaingan,” katanya dalam mesej tersebut yang disiarkan di laman web Grab.

Ketika pandemik Covid-19 melanda pada 2020, Grab memberhentikan 360 pekerja, iaitu kira-kira lima peratus daripada tenaga kerja sepenuh masa.

Pada 2018, Grab mengukuhkan kedudukannya sebagai firma pengangkutan terbesar di Asia Tenggara apabila membeli operasi Uber di rantau ini, justeru menamatkan persaingan sengit dengan syarikat tersebut yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Syarikat itu disenaraikan di Wall Street pada 2021 dalam apa dilihat sebagai yang terbesar pernah tercatat di AS oleh sebuah syarikat Asia Tenggara dengan nilai AS$39.6 bilion.

Bagaimana pun, sahamnya menjunam daripada harga permulaan AS$13. Semalam, saham Grab dijual pada sekitar AS$3.40.

Firma-firma teknologi Asia Tenggara telah mengurangkan tenaga kerja kerana memberi tumpuan kepada keuntungan.

Tahun lepas, Sea Ltd yang berpangkalan di Singapura telah menamatkan lebih 7,000 pekerjaan, membekukan gaji dan mengurangkan perbelanjaan.

Saingan Grab di Indonesia, GoTo memberhentikan 600 pekerja tahun ini selain 1,300 pekerjaan tahun lepas.

-BTS Media

Leave a Comment