BTS Media

Terlalu ramai graduan undang-undang, latihan hanya dibayar RM1,500 sebulan

Oleh Zainal AS Rashid

BERIBU-RIBU graduan undang kini berebut-rebut untuk mendapatkan tempat untuk latihan praktikal (chambering) di firma guaman, yang mendapati sukar untuk menampung permintaan itu.

Keadaan memeningkan kerana latihan praktikal perundangan hanya mampu diperoleh apabila mereka menjalani ‘pupillage’ atau ‘chambering’ di firma guaman.

Bagaimana pun, Majlis Peguam Malaysia berkata bukan semua graduan dijamin mendapat tempat untuk ‘chambering’ kerana kekurangan tempat dan peningkatan saingan dalam industri perundangan.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn berkata graduan undang-undang tidak boleh menganggap bahawa mereka pasti akan mendapat ruang untuk menjalani ‘chambering apabila tamat pengajian.

Beliau berkata, pemohon bukan sahaja perlu berkebolehan tetapi juga cekap dan berpotensi untuk memberikan nilai kepada firma dan profesion undang-undang yang mengambil mereka – ia adalah profesion yang sangat mencabar,” katanya kepada The Star ketika dihubungi semalam.

Cheah berkata beliau telah meramalkan beberapa tahun lalu bahawa keadaan akan menjadi lebih sukar untuk mendapat peluang latihan praktikal (chambering) memandangkan betapa sengitnya persaingan dalam kalangan graduan undang-undang.

“Firma undang-undang hanya mahukan calon yang terbaik.

“Proses temu duga boleh menjadi sukar, dan sesetengah firma guaman hanya mahukan calon yang mempunyai kualiti secara keseluruhan,” tambahnya.

Cheah berkata pada masa ini, kira-kira 1,500 graduan undang-undang menjalani chambering di firma guaman di seluruh negara setiap tahun.

“Kita hanya tahu berapa ramai graduan undang-undang yang memperoleh tempat untuk chambering kerana Majlis Peguam perlu dimaklumkan oleh calon di bawah Seksyen 36 Akta Profesion Undang-undang (LPA).

Cheah berkata, walaupun graduan undang-undang mungkin akan dapat memenuhi tempoh sembilan bulan yang diperlukan, namun tidak semua mereka akhirnya berjaya menjadi peguam kerana ramai yang tercicir daripada profesion itu.

“Daripada 1,500 graduan baru yang cuba memasuki profesion guaman, kira-kira separuh tercicir,” tambahnya.

Beliau berkata bilangan pelajar yang boleh diserap oleh firma bergantung kepada keperluan dan sumber firma tersebut.

“Imbuhan minimum untuk calon tidak ditetapkan buat masa ini dan Majlis Peguam sedang mengkaji meminda LPA untuk menyediakan garis panduan.

“Kadarnya berbeza dari negeri ke negeri.

“Firma guaman di Kuala Lumpur, terutamanya yang besar, tidak mempunyai isu untuk membayar elaun minimum kira-kira RM1,500.

“Tetapi untuk mendapat tempat, calon mestilah yang terbaik,” tambahnya.

Cheah menasihati mereka yang gagal mendapatkan tempat chambering pada percubaan pertama supaya memohon semula kepada firma lain.

“Sesetengah graduan undang-undang akhirnya diambil bekerja sebagai peguam dalaman, menubuhkan syarikat guaman sendiri atau menceburi industri yang berbeza sama sekali,” katanya.

Pada masa ini terdapat lebih 6,000 firma guaman dan 22,000 peguam yang aktif di negara ini.

Jamie Wong, seorang peguam yang berpengalaman 14 tahun di Kuala Lumpur, berkata terdapat lebih ramai graduan undang-undang sekarang ini.

“Lapangan perundangan semakin sesak, khususnya di Lembah Klang.

“Tetapi masih terdapat ruang untuk latihan chambering di luar Lembah Klang,” katanya.

Bergantung kepada jenis perkhidmatan guaman yang ditawarkan, beliau berkata firma yang lebih kecil boleh mengambil antara dua dan empat calon setahun berbanding yang lebih besar yang mampu menempatkan sehingga 12 calon setahun.

Bagaimanapun, Wong berkata ini bergantung kepada keperluan firma dan ketersediaan sumber.

Beliau berkata kegagalan untuk mendapatkan tempat bukanlah penamat kepada impian seseorang untuk menjadi peguam, kerana ia hanya sementara.

“Kumpulkan sebanyak mungkin pengalaman kerja buat sementara waktu. Sebagai alternatif, terokai minat anda dalam bidang lain semasa memohon semula,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment