KUCHING: Baru seminggu beroperasi, ada peniaga bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini sudah gulung tikar kerana hasil jualan tidak mampu menampung modal serta sewa tapak niaga.
Puncanya kerana jumlah bazar Ramadan meningkat mendadak berbanding beberapa tahun sebelum ini sehingga ada yang menyifatkan “bazar kini lebih banyak dari pembeli’.
Ramadan tahun ini, lebih 20 bazar Ramadan dibuka di tiga kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekitar Kuching iaitu di kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Antara bazar Ramadan terbabit ialah di Bandar Baru Samariang, Sukma Ria, Pasar Tani Demak Laut, Plaza Astana, Semarak, Medan Niaga Satok,Matang Mall, Stadium Negeri, Stutong, E-Mart Matang, E-Mart Batu Kawa, Pine Quare, PCC Demak, Satok,Kota Sentosa, Metro City dan Taman Allamanda.
Malah ada juga bazar Ramadan dibuka di kawasan kuaters kediaman pasukan keselamatan seperti polis dan kem tentera, selain banyak peniaga membuka gerai jualan persendirian di tepi jalan dan di kedai-kedai makan.
Tinjauan mendapati di beberapa kawasan, jarak satu bazar dengan bazar yang lain hanya dalam radius satu kilometer sahaja.
Di Batu Kawa misalnya, terdapat tiga bazar Ramadan yang dibuka berdekatan antara satu dengan yang lain iaitu di Pine Square, E-Mart dan berdekatan kedai Ninso.
Begitu juga dengan bazar Ramadan di Stadium Negeri yang terletak berdekatan dengan bazar Ramadan di Taman Sukma serta bazar Ramadan di tapak letak kereta Mydin.
Berikutan kedudukan bazar yang berdekatan selain jumlah yang terlalu banyak, penduduk bandar raya ini yang berjumlah kira-kira 900,000 mempunyai terlalu banyak pilihan.
Seorang peniaga di Bazar Ramadan Satok, Noraida Kassim, berkata setiap hari ramai peniaga merungut kerana banyak jualan tidak dapat dihabiskan.
Berikutan itu katanya, beliau yang berkongsi dengan rakan-rakannya berniaga makanan terpaksa mengehadkan jumlah jualan bagi mengelak menanggung kerugian.
“Ramai peniaga di Bazar Ramadan Satok yang gagal menghabiskan jualan menghantar makanan ke masjid untuk disedekahkan.
“Sekurang-kurangnya mereka tidak membuangnya begitu sahaja, tetapi yang agak menyedihkanlah kerana ramai yang menanggung kerugian,” katanya.
Sementara itu, seorang bekas peniaga yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau hanya mampu bertahan selama enam hari selepas membuka gerai makanan di Bazar Ramadan PCC Demak bermula 23 Mac lalu.
“Ketika mula berniaga, saya mengharapkan mampu memperoleh sedikit keuntungan dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.
“Namun jangkaan saya itu ternyata meleset. Bukan untung yang dapat, malah saya mengalami kerugian kerana hasil jualan bukan saya tidak mampu menampung modal dan bayaran sewa tapak,” katanya.
Menurutnya, jumlah pengunjung di bazar Ramadan itu terlalu sedikit mungkin kerana ramai yang sudah singgah di bazar lain sepanjang perjalanan sebelum melalui PCC Demak.
Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1083816/bazar-banyak-pengunjung-sikit