BTS Media

Kumpulan doktor kontrak ancam mogok besar, letakkan jawatan besar-besaran

Oleh Yusoff A. Shariff

SEKUMPULAN pegawai perubatan kontrak (MO) dengan Kementerian Kesihatan melibatkan kira-kira 8,000 doktor mengancam peletakan jawatan beramai-ramai dan mogok di seluruh negara bermula minggu depan.

Menurut laporan The Star, kumpulan doktor ini mengaitkan diri mereka dengan akaun dalam talian yang muncul di media sosial.

Pihak penganjur dilaporkan meminta para doktor mengambil cuti kecemasan atau cuti perubatan pada 3-5 April sebagai tanda protes.

Bagaimana pun, mereka tidak menggalakkan demonstrasi atau flashmob, sambil memberi amaran tentang kemungkinan berlaku peletakan jawatan besar-besaran pada 1 April.

Jurucakap kumpulan itu yang enggan namanya disiarkan memberitahu The Star bahawa mereka memutus untuk meneruskan mogok secara aman dengan mengambil cuti kecemasan atau cuti perubatan kerana mendakwa mengadakan demonstrasi atau berhenti tugas akan mendatangkan masalah lain.

“Kami mengesahkan bahawa dianggarkan 8,000 daripada kira-kira 20,000 pegawai perubatan kontrak akan menyertai mogok atau acara peletakan jawatan beramai-ramai ini.

“(Kira-kira) 3,000 MO kontrak akan meletak jawatan pada 1 April, manakala selebihnya tidak akan hadir bekerja dari 3-5 April,” katanya kepada The Star.

Kumpulan itu menuntut Kementerian Kesihatan supaya menyerap semua MO kontrak ke jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temu duga; menyediakan kenaikan gaji asas, kadar “on call” lebih tinggi; penyelesaian kepada kekurangan pakar, MO dan “house officers”; dan menyediakan pengurangan automatik bagi tempoh perkhidmatan wajib bagi pegawai perubatan kepada tiga tahun.

Antara lain, ia turut menggesa pengurangan waktu “on-call” dan waktu bekerja untuk MO dan “house officers”, manakala waktu “on-call” tidak boleh melebihi enam kali sebulan, dan waktu bekerja perlu dihadkan kepada 60 jam seminggu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu The Star bahawa beliau hanya mengetahui tentang dakwaan mogok itu melalui media sosial.

Beliau menambah bahawa mogok atau peletakan jawatan secara besar-besaran bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan isu dalam bidang perubatan.

Secara amnya, apabila mogok dianjurkan, ia bertujuan untuk menghantar mesej khusus kepada pihak berkaitan.

“Bagaimanapun, ia perlu difikirkan dengan teliti kerana kesihatan adalah perkhidmatan kritikal – ia melibatkan nyawa dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dr Noor Hisham menambah bahawa kerajaan memandang serius isu-isu yang dihadapi oleh MO dan sentiasa memberikan respons dan bertindak terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan diminta oleh petugas kesihatan.

“Antaranya ialah jawatan tetap, penajaan latihan pakar atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat mengikut masa, peluang kenaikan pangkat ke gred khas, dan penubuhan gred UD56 untuk pakar dan lain-lain. Skim kesihatan lain turut diambil kira dan ditambah baik.

“Saya percaya kerajaan dari semasa ke semasa akan memastikan semua masalah dan permintaan diteliti selaras dengan isu semasa, dan diberikan penyelesaian yang betul berdasarkan keupayaan ekonomi negara,” katanya.

-BTS Media

 

Leave a Comment