Oleh Zainal AS Rashid
PRESIDEN Majlis Peguam Malaysia Karen Cheah berasa pelik apabila laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai siasatan terhadap bekas hakim mahkamah tinggi melibatkan pelanggaran etika kehakiman.
Ini kerana perkara tersebut adalah di luar bidang kuasa pihak berkuasa penguatkuasaan.
Bercakap kepada portal berita The Vibes, Cheah merujuk kepada laporan berita yang menyatakan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said menerima surat daripada SPRM yang mengatakan pihak berkuasa telah memajukan butiran siasatan melibatkan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Mohd. Nazlan Ghazali kepada ketua hakim negara.
“Dilaporkan bahawa butiran yang dikemukakan kepada ketua hakim negara adalah berkenaan dengan siasatan mereka berhubung pelanggaran Kod Etika Kehakiman (JECA).
Karen mempersoalkan kenapa laporan daripada SPRM kepada ketua hakim negara membabitkan JECA, walhal bidang kuasa SPRM adalah isu rasuah.
“Kod etika adalah bawah bidang kuasa Jawatankuasa Etika Kehakiman,” kata Cheah kepada The Vibes ketika dihubungi mengenai perkara itu.
Tindakan sedemikian, jelasnya, boleh menyebabkan agensi pencegah rasuah melebihi kuasanya di bawah undang-undang.
Jumaat lepas, keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati siasatan SPRM terhadap Nazlan gagal mengikut protokol mungkin telah disalahfahamkan oleh pihak tertentu yang sebaliknya beranggapan bahawa undang-undang sekarang menghalang penyiasatan terhadap pegawai kehakiman.
Bagaimanapun, Cheah berkata penghakiman itu jelas mengatakan tiada siapa yang berada di atas undang-undang termasuk hakim, tetapi perlindungan tertentu mesti dipatuhi untuk memelihara kebebasan kehakiman dan menghormati doktrin pengasingan kuasa.
Beliau berkata, apabila berita mengenai penyiasatan SPRM tersiar pada April tahun lepas pihaknya telah menjelaskan keadaan, namun tidak mengatakan bahawa hakim tidak boleh disiasat.
“Kami tidak pun mengatakan bahawa hakim berhak mendapat layanan istimewa, tetapi ada protokol tertentu yang perlu diikuti supaya keyakinan semua orang terhadap kebebasan kehakiman dan hakim yang bersidang terpelihara dan dilindungi,” tambah Cheah.
Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia bukan satu-satunya negara yang mempunyai perlindungan sedemikian, sambil merujuk kepada bidang kuasa yang terpakai di negara Komanwel lain, seperti India.
Karen menjelaskan bahawa sistem di India juga memerlukan perundingan dengan ketua hakim negara terlebih dahulu, berbanding pihak berkuasa di bawah cabang eksekutif kerajaan yang mengambil perkara secara terbuka, justeru memberi gambaran bahawa terdapat beberapa bentuk campur tangan.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil, dalam catatan Facebook, berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan Tengku Maimun bahawa perundingan ketua hakim negara diperlukan sebelum sebarang siasatan SPRM terhadap hakim yang sedang bersidang.
Berpendirian teguh dengan kepercayaannya bahawa hakim tidak berada di atas undang-undang, Isham berkata pegawai kehakiman tidak seharusnya mempunyai kekebalan daripada perkara jenayah.
Mengenai perkara itu, Cheah menegaskan bahawa keputusan itu tidak boleh disalah anggap bahawa ia semata-mata dibuat oleh ketua hakim negara, tetapi juga oleh enam hakim lain di peringkat Mahkamah Persekutuan, iaitu Tan Sri Abang Iskandar Hashim, Datuk Mohamad Zabidin Diah, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.
“Terdapat kegagalan untuk memahami bahawa tiada siapa yang mengatakan hakim berada di atas undang-undang dan tidak boleh disiasat.
“Lagi pun, apabila kes di Mahkamah Persekutuan dibicarakan di hadapan tujuh hakim, maka bermakna ia adalah perkara berhubung kepentingan awam.
Beliau berkata terdapat banyak nuansa (bentuk maksud) dalam keputusan itu, dan persoalannya bukan sama ada jika kita bersetuju atau tidak bersetuju bagi tujuan politik tertentu.
-BTS Media