BTS Media

Tambun minta, kita beri pengiring

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan memberikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudahan pengiring keselamatan (rider) ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, melalui pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Melalui sesi perbahasan usul Belanjawan 2023, Hamzah berkata, Anwar yang ketika itu memegang peranan sebagai Ketua Pembangkang meminta diberikan pengiring keselamatan.

“Saya ingin maklumkan ketika itu saya Menteri Dalam Negeri, Tambun (Anwar) minta dan kita beri ‘rider’.

“Kita tak payah (sebut) siapa minta siapa beri, kita beri, tidak jadi masalah kepada saya kerana saya nak maklum Tambun sahabat saya.

“Kalau kita bersaudara ini ada selisih faham namun bila sudah berbaik semula ada perkara yang boleh bagi, tak ada masalahku,” katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mencelah dalam sesi perbahasan itu yang menyatakan pihaknya terjumpa dengan Anwar di sebuah hospital yang diberi kemudahan pengiring keselamatan, pada pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Isu mengenainya dibangkitkan sebagai susulan Kerajaan PH-BN tidak memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang melalui Belanjawan 2023.

Pada masa sama, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, terpulang kepada kerajaan sama ada mereka mahu menjadi adil dalam perkara berkaitan itu.

“Sama ada adil, tak adil ini terpulang kepada orang yang memegang kuasa, kalau dia pegang kuasa dan nak jadi pemimpin yang adil, dia berlaku adil.

“Tetapi kalau dia pegang kuasa dan merasakan inilah masanya kita nak ajar mereka yang dulunya menentang melawan, masalahlah,” katanya.

Semasa pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, sebuah memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani bersama Pakatan Harapan (PH) pada September 2021.

Susulan itu, pejabat ketua pembangkang dinaik taraf menjadi setaraf dengan pejabat menteri di mana Anwar yang juga Pengerusi PH ketika itu mendapat pelbagai kemudahan setaraf menteri.

-BTS Media

Leave a Comment