BTS Media

Sarawak latih pereka kreatif bantu tingkat nilai eksport perabot

KUCHING : Sarawak perlu melipatgandakan usaha bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti perabot untuk pasaran eksport berikutan nilai yang diperoleh ketika ini masih terlalu kecil.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata dalam tempoh Januari hingga September tahun lalu, Sarawak mengeksport produk kayu bernilai RM3.1 bilion.

Bagaimanapun, katanya sebahagian besar nilai eksport itu disumbangkan oleh papan lapis dan produk perkayuan lain iaitu sebanyak RM2.8 bilion namun produk perabot hanya merangkumi 1.4 peratus iaitu sebanyak RM44 juta sahaja.

Sehubungan itu, beliau berkata Sarawak perlu memanfaatkan teknologi serta kreativiti modal insan berkemahiran bagi mereka cipta perabot yang mampu memenuhi kehendak pasaran eksport.

“Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan nilai eksport produk perkayuan termasuk perabot sehingga RM6 bilion menjelang tahun 2030.

“Justeru, dalam tempoh tujuh tahun akan datang (menjelang 2030) kita perlu menaik taraf teknologi serta kreativiti modal insan khusus bagi membantu kita mencapai matlamat meningkatkan pasaran khususnya eksport produk perabot,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Minggu Reka Bentuk Sarawak 2023 (SDW2023) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Pengerusi Pusat Reka Bentuk Sarawak (SARADEC), Datuk Mohd Naroden Majais serta Ketua Pegawai Eksekutif SARADEC, Dayang Nena Abang Bruce.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak mengambil pendekatan serius bagi mengubah industri berasaskan kayu dengan melaksanakan beberapa langkah antaranya melahirkan pereka muda yang memiliki kreativiti yang mampu menghasilkan produk perabot untuk pasaran eksport.

“Untuk itu SARADEC bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Institut Teknologi Bandung (ITB) Indonesia untuk melatih pereka kreatif.

“UNIMAS mempunyai Kursi PUSAKA (Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak) yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk perabot berasaskan kayu dan menerusi kerjasama dengan ITB, kita menghantar graduan untuk menimba pengalaman serta kemahiran bagi mencipta perabot yang unik serta dituntut oleh pasaran global,” katanya.

SDW2023 yang julung kali diadakan mulai hari ini hingga 16 Februari ini mengetengahkan reka bentuk kreatif serta prototaip perabot yang dihasilkan oleh 32 graduan SARADEC yang menimba kemahiran daripada UNIMAS dan ITB Indonesia menerusi program SayD’Signers.

Ketua Pegawai Eksekutif SARADEC, Dayang Nena Abang Bruce, berkata SDW2023 disertai lebih 200 pempamer dan menjadi landasan terbaik untuk menonjolkan kreativiti pereka muda khususnya dalam penghasilan perabot berkualiti yang mempunyai reka bentuk menarik.

Menurut Dayang Nena, pihaknya menyasarkan kehadiran seramai 10,000 pengunjung dengan nilai jualan pula sebanyak RM10 juta sepanjang penganjuran SDW2023.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1063633/sarawak-latih-pereka-kreatif-untuk-bantu-tingkatkan-nilai-eksport

Leave a Comment