Oleh Fetty Rara
INISIATIF Menu Rahmah boleh menjejaskan pengusaha kecil makanan, kata Persatuan Peniaga Kecil Bumiputera.
Presidennya Rosli Sulaiman berkata malah ada yang kehilangan keuntungan kerana berniaga di medan selera yang sama dengan gerai membekalkan menu itu, lapor NST.
Beberapa pengusaha kecil makanan mengadu mengalami kerugian besar pada minggu pertama pelancaran menu tersebut.
Beliau berkata harga makanan semakin meningkat, dan harga beberapa jenis sayur meningkat 100 peratus.
Memandangkan keadaan ini, Rosli mahu kerajaan memberi subsidi kepada pengusaha makanan.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya mengekalkan pemberian bantuan ‘one-off’ RM1,000 kepada syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana berdaftar yang disebut dalam Bajet 2023.
Beliau juga berharap agar agensi kerajaan tempatan dapat mengurangkan sewa untuk perniagaan kecil supaya mereka dapat mengharungi kenaikan kos bahan makanan.
“Harga ayam sekarang RM9.30 sekilogram. Jika ingin melaksanakan Menu Rahmah berlauk ayam, ia perlu dipotong 12, justeru bermakna kosnya RM4 sebahagian.
“Jika ditambah nasi, iaitu RM2 dan minuman RM1, sudah menjadi RM7. Peniaga akan kehilangan RM2,” kata Rosli kepada NST.
Menurut beliau, adalah tidak praktikal untuk pengusaha makanan kecil menyertai inisiatif itu, dan beliau tidak mengesyorkannya kepada restoran kecil dengan keuntungan kurang daripada RM150 sehari.
Pengusaha gerai nasi campur di Bangsar, Kasira Mohd Zain, 52, berkata, dia mengalami kerugian sekarang kerana ‘bersaing’ dengan Menu Rahmah.
Oleh sebab kos makanan telah meningkat, dia terpaksa menjual pada harga RM8 untuk menu yang sama.
Kasira berkata, dia juga terpaksa mengenakan bayaran tambahan kepada pelanggannya untuk sambal belacan kerana kos sekilogram (kg) cili boleh mencecah hingga RM15.
Kesusahannya dikongsi juga oleh pengusaha restoran kecil yang lain.
“Kalau kita laksanakan menu itu, ia bermakna yang dijual ialah nasi dengan ikan kembong, sayur dan kuah pada berharga RM8.
“Kalau pembekal (pengusaha Menu Rahmah) boleh mengenakan harga rendah, terpulang kepada mereka, namun kami benar-benar tak boleh lakukannya,” kata Kasira sambil menambah bahawa harga menu yang sama pada RM5 tidak akan menghasilkan pulangan ke atas modalnya.
Kasira berkata harga seekor ikan kembong boleh mencecah hingga RM14.
“Kita tidak boleh bersaing dengan syarikat besar. Saya difahamkan kerana inflasi, orang ramai tidak boleh berbelanja besar, jadi keluarga akan memilih Menu Rahmah kerana ia lebih murah. Jika mempunyai lima anak, menu itu hanya berharga RM25.”
Minggu lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melancarkan Menu Rahmah, yang terdiri daripada sepinggan nasi, ayam atau ikan dan sayur-sayuran berharga tidak melebihi RM5.
Walaupun kira-kira 15,000 pengusaha makanan telah mengambil inisiatif itu, pengusaha restoran lain tidak diwajibkan untuk menyediakan Menu Rahmah.
Pada 1 Feb, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata harga beberapa jenis sayuran telah meningkat lebih 160 peratus bulan lepas.
CAP berkata harga kacang bendi telah meningkat 166 peratus daripada RM6 sekilogram kepada RM16 sekilogram.
Harga kacang panjang telah meningkat dua kali ganda, daripada RM6 sekilogram kepada RM12 sekilogram, tomato daripada RM4.50 sekilogram kepada RM10 sekilogram, dan terung daripada RM7 sekilogram kepada RM12 sekilogram
Sebelum ini, akhbar NST melaporkan bahawa cuaca buruk dan pengurangan pengeluaran sebagai punca kenaikan harga sayur-sayuran, dan sekiranya faktor-faktor ini berterusan, harga dijangka melonjak lebih tinggi dalam tempoh Tahun Baharu Cina.
Sayur-sayuran yang dijangka mengalami kenaikan harga antara 20 peratus dan 30 peratus ialah tomato, timun, cili, kacang dan cili kembung (capsicum).
Bulan lalu, dilaporkan bahawa keadaan laut bergelora dan cuaca monsun timur laut telah menjejaskan kadar pendaratan ikan, justeru menyebabkan kenaikan harga.
-BTS Media