GAMBAR ATAS: Mokkie, CC BY-SA 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Fetty Rara
DAUN KARI (karipuley) kini dianggap sebagai barangan berharga di pasaran tempatan dan peniaga runcit di Pulau Pinang, berikutan kenaikan harga mendadak.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV Subbarow berkata berdasarkan tinjauan di beberapa premis, terdapat kenaikan harga yang ketara, justeru menjadikannya sehingga RM15 sekilo.
Beliau berkata lazimnya daun yang digunakan sebagai bahan masakan itu diberikan secara percuma oleh peniaga sayur atau santan, lapor Kosmo!
“Tinjauan kami mendapati kuantiti kecil daun kari dijual pada harga 50 sen kepada RM1 seikat.
“Beberapa peniaga santan memberitahu kami bahawa mereka tidak lagi memberikannya secara percuma kepada pelanggan berikutan kenaikan harga,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau menggesa pengguna menanam pokok kari sendiri di rumah untuk membantu mereka mengurangkan kos.
Penjual sayur di pasar awam, Izam Abd Hamid, 42, berkata dia sudah dua minggu sejak kali terakhir menerima stok daun kari yang biasanya dihantar oleh pembekal warga Bangladesh.
“Kebiasaannya mereka akan membawa dua guni ke pasar dan diagihkan kepada peniaga sayur di sini.
“Kami tidak pasti mengapa ini berlaku. Saya biasanya membelinya pada harga RM8 sekilogram. Saya tidak jual dalam kuantiti yang banyak, cuma 15 hingga 18 tangkai (seikat) pada harga 50 sen,” katanya.
-BTS Media