TAN SRI Muhyiddin Yassin hari ini berkata video ucapannya semasa perhimpunan mega Perikatan Nasional (PN) di Muar “di-edit secara terpilih” supaya menggambarkan apa yang beliau tidak sebenarnya sampaikan.
Setelah ditularkan, video satu minit 35 saat yang diubah itu telah mencetuskan kecaman kerana mendakwa Yahudi dan Kristian cuba “mengkristiankan” negara ini.
Pengerusi PN itu berkata adalah tidak adil untuk menilai dan terus percaya bulat-bulat apa yang digambarkan dalam klip video yang telah disunting pendek, walhal penghuraian sebenar isu tersebut sepanjang 55 minit.
“Untuk rekod, saya mengulas klip video yang tular sepanjang tempoh pilihan raya ini di mana kumpulan agama asing secara khusus kelihatan mendoakan agar kerajaan jatuh ke tangan pembangkang. Perikatan Nasional bermaksud kestabilan, keadilan kepada semua dan bebas rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebenarnya pada tanda masa (time code) 48 minit, beliau secara khusus dan tidak berbelah bahagi menyatakan hasrat Perikatan Nasional untuk melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama agar tiada kaum yang ketinggalan.
Muhyiddin berkata keseluruhan konteks ucapannya adalah untuk menggalakkan kestabilan, kedaulatan undang-undang, serta keadilan kepada semua kaum dan agama.
Terdahulu, Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) dalam satu kenyataan menolak sebarang agenda rahsia untuk “mengkristiankan” negara seperti yang didakwa dikatakan oleh Muhyiddin dalam video yang diubah itu menjelang pilihan raya umum ke-15 esok.
Menambah lagi kekeruhan, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli juga berikrar bahawa partinya akan memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin, jika Muhyiddin dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Pagoh.
Ia atas alasan sengaja mencetuskan sentimen perkauman dengan mendakwa terdapat cubaan kumpulan Kristian yang dikaitkan dengan pembangkang untuk menyebarkan fahaman Kristian dalam kalangan orang Islam.
Rafizi merujuk kepada dakwaan pelanggaran Seksyen 4(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya berhubung kenyataan berniat jahat untuk membatalkan kemungkinan kemenangan Muhyiddin dalam pilihan raya nanti.
-BTS Media