SEBUAH buku tentang segala cabaran yang dihadapi oleh bekas perdana menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memimpin negara sewaktu pandemik Covid-19 dilancarkan hari ini di Kuala Lumpur.
Bertajuk “Muhyiddin Yassin: Leading a Nation in Unprecedented Crisis,” buku yang ditulis oleh bekas pengerusi Media Prima Datuk Abdul Mutalib Razak dan diterbitkan oleh Yayasan Pendidikan Islam ini dirasmikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Bagi Muhyiddin buku ini mengimbau detik-detik pahit manis, jerit perih dilalui bersama rakyat ketika berdepan dengan pandemik Covid-19. Pandemik ini benar-benar telah menguji kekentalan semangat, kecekalan rakyat Malaysia, daya tahan ekonomi dan kapasiti sistem kesihatan negara.
Sebagai pemimpin nombor satu negara ketika Covid-19 diisytiharkan sebagai pandemik global, banyak keputusan yang sukar yang terpaksa beliau ambil untuk kepentingan rakyat.
Beliau perlu menyeimbangkan tuntutan menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat. Semasa itu, tiada buku panduan yang boleh dijadikan rujukan oleh mana-mana pemimpin negara untuk membantu mengharungi krisis tersebut.
Menurut beliau, dengan berkat sokongan dan kerja sepasukan daripada ahli-ahli kabinet dan kakitangan kerajaan, beliau berjaya mengemudi negara dengan menyediakan Pelan Pemulihan Negara yang sistematik bagi merintis arah keluar dari kancah pandemik secara teratur dan selamat, hingga ke fasa endemik.
Muhyiddin berkata, terdapat tiga cabaran utama dalam respons kepada pandemik ini, iaitu:
- Masa dan kepantasan respons: Mengejar masa, kerana kadar penularan virus ini ternyata cepat. Jika lambat bertindak tepat pada masa, ramai yang akan menjadi mangsa. Namun, pada masa yang sama, beliau sedar bahawa banyak yang tidak diketahui mengenai virus Covid-19, termasuk sifatnya, dan apatah lagi dengan tiadanya panduan khusus untuk menangani pandemik pada skala besar. Dalam hal ini, kecekapan, kesungguhan, dan semangat petugas-petugas barisan hadapan amat penting.
- Kapasiti kesihatan awam dan teknologi membangunkan vaksin: Pengurusan kapasiti itu penting dan amat perlu untuk memastikan bilangan katil, ventilator dan staf perubatan mencukupi dan sistem kesihatan awam tidak lumpuh akibat tekanan. Beliau secara khusus merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh petugas barisan hadapan yang telah bekerja keras, berkorban masa dan tenaga bukan sahaja untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19, tetapi juga telah melaksanakan program vaksinasi dengan jayanya.
- Kedudukan kewangan negara: Apabila beliau memutuskan untuk melaksanakan PKP dan menutup sektor ekonomi, kecuali perkhidmatan perlu, kerajaan harus terus membantu rakyat dan perniagaan bagi membolehkan mereka bertahan. Baik bantuan tunai, subsidi upah mahupun bakul makanan, moratorium pinjaman bank dan pengecualian sewa premis milik kerajaan, kerajaan berusaha membantu seramai mungkin rakyat yang terkesan melalui lapan pakej rangsangan ekonomi berjumlah lebih RM 530 bilion. Ini termasuk membeli vaksin dan memulakan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) yang terbesar dan terpantas dalam sejarah negara.
Bagi Muhyiddin, tidak semua yang dilakukan ketika beliau memimpin kerajaan itu sempurna. Namun, beliau dan rakan-rakan dalam barisan kepimpinan kerajaan pada masa itu telah berusaha melakukan sebaik mungkin.
Setiap kudrat beliau ketika itu adalah untuk mencari ikhtiar menyelamatkan rakyat dan mengurangkan bebanan yang ditanggung.
Seperti yang beliau sering mengingatkan ketika itu, untuk menangani pandemik ini memerlukan pendekatan “whole of nation” di mana semua jentera kerajaan digerakkan, bersama sektor swasta dan segenap lapisan masyarakat untuk melindungi diri dan keluarga.
Berkat usaha semua, negara akhirnya berjaya keluar daripada fasa pandemik dan beralih ke fasa endemik. Seterusnya, Muhyiddin berkata semangat juang setiap rakyat Malaysia dalam memerangi Covid-19 ini perlu digembleng sekali lagi dalam usaha memulihkan negara pasca-pandemik.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan perlu terus melabur bagi meningkatkan kapasiti kesihatan awam, dan mengurus kewangan negara dengan baik supaya sentiasa mempunyai ruang fiskal untuk membantu rakyat pada waktu kecemasan. Juga, perlu dipastikan bahawa semua pemimpin bersedia dan berani membuat keputusan yang benar dan tepat, walaupun tidak popular demi negara dan rakyat.
-BTS Media