PANDANGAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki bahawa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International Malaysia (TI-M) tidak berdasarkan “fakta” tetapi hanya “persepsi” mencerminkan kurangnya pemahaman tentang cara Indeks itu berfungsi, kata pertubuhan itu hari ini.
Beliau pada minggu lepas memberitahu media bahawa CPI itu tidak mencerminkan keadaan sebenar negara, dengan alasan ia sekadar menyukat tahap persepsi rasuah.
Presiden TI-M Muhammad Mohan menjelaskan bahawa walaupun CPI tidak pernah dianggap sebagai “ukuran sebenar rasuah” sejak penubuhannya pada 1995, namun ia diterima secara global sebagai “petunjuk terukur” mengenai perkembangan di negara yang mengambil bahagian.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (25 Julai) beliau berkata skor sesebuah negara diberi berdasarkan beberapa tinjauan dan penilaian pakar, yang melihat pelbagai faktor dalam sesebuah negara, termasuk aspek demokrasi, keterbukaan kepada pelabur asing dan faktor ekonomi.
Beliau berkata CPI juga membantu sebagai petunjuk status ekonomi dan politik negara serta kecenderungannya untuk terlibat dalam rasuah, justeru memberi isyarat kepada pihak berkuasa mengenai masalah rasuah yang memerlukan lebih perhatian.
Menurut beliau, kritikan sebegitu itu bukan perkara baharu, apabila menyatakan cadangan sebelum ini supaya Malaysia dikecualikan sepenuhnya daripada CPI.
Bagaimanapun, Muhammad berkata kemerosotan kedudukan Malaysia harus dilihat sebagai peluang untuk bertambah baik, bukannya alasan untuk berundur.
Melihat kepada latar belakang pengkritik, TI-M agak ragu-ragu tentang mengapa mereka memilih untuk tidak menerima hakikat bahawa kedudukan Malaysia dalam CPI telah merosot.
Muhammad berkata pihak yang sama ini cepat bersorak apabila ranking negara dikatakan baik, seperti yang berlaku untuk laporan 2019 apabila Malaysia buat kali pertama berjaya meningkatkan markahnya daripada 47 kepada 53 dan meningkatkan kedudukannya daripada 61 kepada 51 daripada 180 negara di dunia. Dalam keadaan seperti itu, pihak-pihak ini menerima CPI dengan hati terbuka.
Pastinya kematangan sesebuah negara diukur dengan kebolehan menerima kenyataan, berfikir secara mendalam dan bersama-sama mencari jalan untuk memperbaiki kedudukan negara,kata Muhammad.
Daripada meragui kredibiliti CPI, presiden TI-M itu menggesa agar lebih tumpuan diberikan ke arah usaha memerangi rasuah, mendapatkan markah lebih baik dan mencapai matlamat Pelan Antirasuah Nasional (NACP).
“Suka atau tidak, kejayaan Malaysia dalam meningkatkan kedudukannya dalam IHP bagi 2019 adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Ini menunjukkan kita mempunyai pengetahuan dan mereka yang diberi tanggungjawab untuk menentukan perancangan dan dasar berkaitan integriti, tadbir urus, dan pencegahan rasuah tahu apa yang perlu dilakukan dan telah berjaya memulihkan imej negara di mata dunia.
“Ini adalah bukti empirikal yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak — bahawa Malaysia boleh menjadi antara negara terbaik dalam indeks persepsi rasuah ini,” katanya.
Bagi Muhammad, untuk mencapai kedudukan lebih baik, Malaysia perlu menjadi sebuah negara lebih demokratik yang mampu menarik pelabur untuk perniagaan, dan menekankan agar setiap agensi, kementerian dan rakyat bekerjasama.
Beliau berkata CPI melihat rasuah secara keseluruhannya dan tidak seperti sesetengah daripada pihak yang beranggapan bahawa isu rasuah itu berkaitan dengan usaha yang dilakukan oleh SPRM semata-mata.
Pelan lima tahun NACP yang dilancarkan pada Januari 2019 hanya menunjukkan pencapaian 33 peratus daripada matlamatnya.
Pelan itu menggariskan enam bidang utama yang perlu diberi tumpuan: tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat.
-BTS Media