GAMBAR ATAS: BTS Media/Aziz A. Shariff
Mengambil masa lebih daripada tiga saat untuk bergerak apabila lampu isyarat bertukar hijau sering kali menaikkan kemarahan pemandu yang menunggu di belakang.
Menurut satu tinjauan membabitkan 2,498 individu United Kingdom yang dikendalikan oleh perkhidmatan bantuan kerosakan auto British (RAC), 46% orang pemandu berpendapat bahawa paling lama sebelum sesebuah kereta digerakkan setelah lampu isyarat bertukar hijau tidak sepatutnya lebih daripada tiga saat.
Berikutan itu, RAC melahirkan kebimbangan kesannya terhadap keselamatan jalan raya, kesesakan trafik dan pencemaran udara disebabkan oleh reaksi lambat untuk bertindak dalam kalangan pemandu.
Kira-kira 17% responden dalam tinjauan itu berkata kerana tindakan lembab pemandu di hadapan, sering kali kenderaan di belakang tidak sempat melepasi petak kuning di persimpangan, sementara hampir dua pertiga (64%) mendakwa mereka terpaksa menunggu lebih 10 saat sebelum dapat bergerak.
Lebih kurang satu pertiga (35%) responden berkata tempoh antara empat dan enam saat untuk bergerak dianggap munasabah, sementara hanya 7% masih boleh bersabar apabila pemandu di depan sesuka hati mengambil masa untuk menggerakkan kenderaan.
Jurucakap RAC Simon Williams yang dipetik oleh agensi berita DPA berkata lebih daripada tiga saat boleh dirasai seperti begitu lama sangat apabila seseorang pemandu ingin melepasi lampu hijau yang selalunya menyala hanya tidak lebih 15 saat.
Apabila ini berlaku hanya dua tiga buah kenderaan dapat melepasi petak kuning sebelum lampu bertukar merah, justeru menyebabkan kesesakan, dan menambah kadar pencemaran.
Dari segi keselamatan, masa yang singkat untuk melepasi lampu hijau menyebabkan ramai pemandu tidak memeriksa cermin pandang belakang dan cermin tepi, lalu meletakkan diri mereka dan orang lain dalam bahaya.
-BTS Media