BTS Media

Jumlah kes penyakit HFMD bertambah: Negeri Sembilan catat peningkatan 25 kali ganda

GAMBAR ATAS: KlatschmohnAcker, CC BY-SA 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0>, via Wikimedia Commons

 

Oleh Zainal AS Rashid

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Negeri Sembilan kini mencatatkan peningkatan 25 kali ganda, atau 1,446 kes setakat Sabtu (14 Mei).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata Seremban catat jumlah kes tertinggi, iaitu sebanyak 834.

Port Dickson (184), Jempol dan Rembau (masing-masing 140 kes), Kuala Pilah (66), Tampin (53) dan Jelebu (29).

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata peningkatan ketara tahun ini berbanding tahun lalu di Negeri Sembilan antara lain adalah berikutan pembukaan semula sektor pendidikan dan tempat awam.

Beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau kesihatan anak mereka dan tidak menghantar mereka ke sekolah atau tadika jika mendapati simptom HFMD, seperti demam, ulser mulut dan ruam pada tangan atau kaki.

Pada 5 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat peningkatan ketara kes HFMD di negara ini dengan 22,463 kes dilaporkan sehingga minggu ke-17 epidemiologi.

Sementara itu, di Pahang 1,288 kes dilaporkan setakat Jumaat (13 Mei) dengan 138 kes dikesan menular di 27 taska, tadika atau prasekolah di seluruh negeri, manakala selebihnya merupakan kes sporadik.

Menurut pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Dr Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan,  pihaknya menjangkakan trend kes akan terus meningkat sekiranya tiada langkah pencegahan diambil oleh ibu bapa dan pengusaha taska, tadika dan prasekolah.

Pencegahan adalah kaedah terbaik

Bagi membantu menangani penyakit HFMD beliau berkata pencegahan adalah kaedah terbaik, termasuk mengelak membawa kanak-kanak bergejala ke tempat tumpuan orang ramai, seperti pusat membeli-belah atau menghantar mereka ke taska atau tadika.

Pengusaha taska, tadika dan prasekolah perlu melakukan saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak yang dibenarkan hadir tidak mempunyai gejala.

Beliau berkata, jika kanak-kanak yang bergejala tidak dapat diambil oleh ibu bapa mereka, mereka perlu diasingkan di bilik khas.

Di Kepala Batas, Seberang Perai, pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah mengambil langkah pencegahan awal di semua taska dan tadikanya bagi memastikan tiada jangkitan HFMD berlaku.

Ketua Pengarah KEMAS, Mohamad Yasid Bidin berkata setakat ini tiada taska dan tadika KEMAS di seluruh negara ditutup kerana kes penyakit itu.

Beliau memberitahu media di Paya Keladi pada Sabtu (14 Mei) bahawa daripada sejumlah 10,830 tadika dan 545 taska KEMAS dengan 220,000 murid, hanya seorang murid di tadika Tasek Gelugor dijangkiti HFMD, tetapi bukan dijangkiti di tadika.

-BTS Media

Leave a Comment