BTS Media

Isu buli doktor pelatih: Pegawai tertinggi KKM perlu bertanggungjawab

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dipertanggungjawabkan atas laporan terbaharu kejadian buli dan gangguan seksual yang dihadapi doktor pelatih, kata bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Katanya, doktor muda tidak mendapat perlindungan yang mereka perlukan. Justeru beliau menggesa langkah lebih mendesak diambil bagi menangani dakwaan yang menunjukkan “keadaan kerja sangat toksik” dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, terdapat juga “budaya ketakutan” dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

Katanya, pegawai tertinggi KKM, yang didakwanya berulang kali menegur pegawai bersuara dan menyuarakan kebimbangan, sebahagiannya perlu dipersalahkan.

“Tanggungjawab itu berhenti dalam kalangan mereka yang berjawatan tinggi: menteri, ketua pengarah, pengarah negeri dan ketua jabatan.

“Ramai yang cenderung mendiamkan diri, walaupun ia berlaku secara terang-terangan. Ia sering bermula dari atas, justeru penyelesaiannya juga datang dari atas.

“Mereka yang berada di atas perlu melihat secara teliti bagaimana mereka menyumbang kepada keadaan kerja toksik dan mencari jalan untuk menangani masalah ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun Dzulkefly menegaskan masalah itu bukan berpunca daripada satu pihak sahaja kerana doktor senior diketahui menghadapi cabaran daripada “sesetengah HO (doktor pelatih) bermasalah”.

Beliau bercakap mengenai kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang bulan lalu akibat terjatuh dari pangsapurinya hanya tiga minggu selepas ditempatkan di hospital itu.

Kematian itu mencetuskan gesaan supaya kerajaan menangani keadaan kerja yang teruk untuk doktor pelatih, yang mendakwa mereka terlebih kerja dan dibuli.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, sebuah pasukan bertindak bebas akan ditubuhkan untuk menyiasat kematian terbaharu itu dan dakwaan budaya buli terhadap doktor pelatih di hospital.

Dengan menggesa dasar toleransi sifar terhadap perbuatan buli, gangguan dan intimidasi di tempat kerja, Dzulkefly berkata, keluhan dan aduan kakitangan junior perlu ditangani segera dengan cara sensitif.

“Ramai kakitangan KKM bekerja dalam ketakutan. Mereka yang berjawatan kanan mungkin tidak bersetuju atau suka mendengar perkara ini, tetapi ini adalah realitinya. Testimoni mereka yang sudah bersara adalah buktinya.

“Daripada menolak kritikan dan laporan berterusan, kini masanya untuk KKM bertindak.”

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/11/isu-buli-doktor-pelatih-pegawai-tertinggi-kkm-perlu-bertanggungjawab-kata-dzulkefly/

Leave a Comment