BTS Media

10 teknologi dan peranti kita benar-benar tidak perlukan lagi

GAMBAR ATAS: Silvioldcoelho, CC BY-SA 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0>, via Wikimedia Commons

 

Oleh Zainal AS Rashid

Kesemuanya sudah lapuk, dan harus DIketepikan sahaja sekarang.

Teknologi berkembang dengan pantas, begitu cepat sehingga telefon di dalam poket anda sekarang berjuta-juta kali lebih hebat dan berkuasa daripada semua kaedah pengkomputeran yang digunakan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika NASA pada 1969 yang membawa dua angkasawan ke bulan.

Tahun demi tahun semakin banyak teknologi yang diperkenalkan, dan semakin banyak peralatan berasaskan teknologi lama dihimpunkan berhabuk dalam stor.

Mari kita tengok apa yang menggantikan teknologi tersebut.

 Mesin Taip

Berit from Redhill/Surrey, UK, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>, via Wikimedia Commons

Bagi generasi sekarang yang tidak tahu, mesin taip ialah papan kekunci yang mencetak terus ke atas kertas. Sebelum mesin taip, semua dokumen dan surat rasmi ditulis dengan tangan atau dicetak menggunakan mesin cetak, yang harganya mahal. Mesin taip dicipta dan diperkenalkan sebagai kaedah berteknologi baharu oleh Christopher Latham Sholes pada 1868.

Mesin taip pertama mempunyai kunci mekanikal yang dilengkapi tuil di mana terdapat huruf dan aksara yang timbul pada hujungnya.

Apabila pengguna menekan kekunci, reben berdakwat diapit di antara kertas dan permukaan logam untuk dicetak di atas kertas. Ia merupakan ciptaan revolusioner kerana telah mengubah landskap dunia perniagaan dan cara orang ramai berkongsi maklumat.

Menjelang pertengahan 1800-an, alat tersebut sangat diperlukan di pejabat dengan popularitinya bertahan selama hampir satu abad dan akhirnya digantikan oleh komputer. Bagaimana pun, hari ini, ramai orang agak sukar meninggalkan sentuhan ‘tip tap’ mesin taip, terutamanya dalam kalangan segelintir penyair dan novelis yang masih bertahan menggunakan alat tersebut.

Telefon Awam Berbayar

Bindydad123, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons

Sebelum kemunculan telefon bimbit, komunikasi melalui telefon berbayar adalah perkara biasa. Pengguna boleh membuat panggilan melalui talian tetap dan membayar menggunakan duit syiling, kad debit atau kad kredit. Selalunya telefon berbayar yang disediakan di dalam pondok telefon untuk memberi privasi kepada pengguna kini hampir lenyap dengan kemunculan telefon pintar dan telefon ‘bodoh’ mudah alih.

Telefon berbayar pertama muncul pada 1881, dan pada tahun 1900-an, ia merupakan sesuatu yang biasa dilihat di lokasi tertentu jalan-jalan sibuk, stesen kereta api dan tempat awam lain. Bagaimana pun, kaedah itu juga ditelan zaman apabila syarikat gergasi telekomunikasi di Amerika Syarikat, AT&T dan Verizon mula menjual gajet telefon mereka pada tahun 2000-an.

Filem Fotografi

Bubba73 at English Wikipedia, CC BY-SA 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0>, via Wikimedia Commons

Zaman sekarang ialah era fotografi segera, di mana mengambil dan berkongsi gambar yang dahulunya tidak pernah diimpikan meluas menjadi kenyataan apabila imej foto boleh diambil hampir sekelip mata.

Penggunaan kamera jenis pegun (still camera) adalah satu-satunya kaedah popular untuk merakam imej foto dengan menggunakan filem seluloid. Kamera pegun pertama direka dan diperkenalkan pada 1885.

Oleh sebab mahal, pada masa itu fotografi hanya dapat diakses oleh golongan berada, tetapi setelah dikomersialkan ia mampu untuk hampir semua orang. Mekanisme filem fotografi sensitif cahaya menggunakan kaedah pendedahan kepada cahaya untuk merakam imej objek dan kemudian dihasilkan melalui reaksi kimia hingga menjadi gambar foto.

Proses yang memakan masa dan kos yang agak tinggi telah membawa kepada kemunculan kamera digital pada 1990-an. Menjelang akhir abad ke-20, filem fotografi dan kamera filem sudah terkubur.

Mesin Penjawab

tony_duell, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>, via Wikimedia Commons

Mesin penjawab berfungsi sama seperti sistem mel suara pada telefon sekarang. Perbezaannya ialah mesin penjawab menyimpan mesej pemanggil dalam alat itu sendiri menggunakan kaset, manakala sistem mel suara menyimpannya dalam pelayan komputer berpusat.

Mesin penjawab pertama dicipta pada 1930-an tetapi hanya popular pada 1980-an. Menjelang awal 2000-an, mel suara telah menggantikan mesin penjawab, kerana ia membolehkan pengguna mengakses mesej yang dirakam di mana-mana sahaja.

Alat Kelui

Jochem Pluim, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons

Sebelum telefon mudah alih diperkenalkan, satu-satunya kaedah ialah dengan menggunakan talian tetap.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Alfred J. Gross mencipta alat kelui pada 1949 untuk digunakan di hospital. Ia merupakan peranti komunikasi radio bernombor unik yang sama pada telefon.

Caranya: Sesiapa mempunyai nombor kelui boleh menghantar mesej (nombor telefon atau teks ringkas) ke kelui kita melalui telefon. Apabila kita menerima mesej itu, alat kelui akan memaparkannya pada skrin LCD.

Walaupun alat kelui sehala hanya boleh menerima mesej, kelui dua hala dan kelui respons juga boleh menghantarnya. Apabila telefon mudah alih menjadi popular, alat kelui mula dihentikan secara berperingkat. Bagaimanapun, ia masih digunakan untuk perkhidmatan kecemasan (walaupun jarang) seperti dalam sektor penjagaan kesihatan dan perkhidmatan keselamatan kebakaran.

Pita Kaset

GAMBAR: Wikimedia Commons.

Walaupun orang ramai, terutamanya kalangan ‘audiophile’, masih tegar memilih rekod vinil (piring hitam), yang nyata medium tersebut bersaiz besar dan payah dibawa merata.  Untuk mengatasi masalah itu, syarikat Phillips telah mencipta pita kaset padat pada 1962. Medium tersebut pada mulanya digunakan untuk rakaman audio dan main semula (playback). Tetapi kemudian, apabila standard medium pita VHS muncul, kaset dinaikkan taraf untuk menampung video.

Kaset mendapat sambutan hangat dalam industri muzik dan telah mengubah cara orang ramai mendengar muzik. Dengan kaset, muzik boleh dibawa ke mana sahaja. Medium itu kekal relevan sepanjang 70-an dan 80-an, tetapi pada 1991 CD menggantikan kaset.

Cakera Liut

George Chernilevsky, Public domain, via Wikimedia Commons

Hari ini kita menggunakan platform penyimpanan awan (cloud storage) atau peranti penyimpanan luaran untuk memindahkan fail antara dua komputer, tetapi sebelum itu cakera liut menjadi pilihan. Dengan penciptaan cakera liut IBM pada 1971, perkongsian program dan memuatkan naik sistem pengendalian (OS) menjadi lebih mudah.

Sejak 1980-an, medium tersebut merupakan satu-satunya pilihan untuk penyimpanan pintar, justeru menggantikan kaedah menebuk pita kertas sebagai data digital. Menjelang 1990-an, memandangkan had simpanan terhad, CD pula telah menggantikan cakera liut.

Kapasiti penyimpanan cakera liut ialah 1.44 MB, dan CD standard ialah 700 MB.

Gajet Muzik Mudah Alih

Joe Haupt from USA, CC BY-SA 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0>, via Wikimedia Commons

Kita kini mudah membawa beribu track muzik di dalam poket, tetapi sebelum 1970-an, kita tiada pilihan. Pilihannya sama ada mendengar muzik di rumah atau di dalam kereta sahaja. Tetapi, ciptaan gajet muzik mudah alih telah mengubah segala-galanya.

Gajet muzik pertama berbentuk mudah alih ialah ‘Walkman’ yang diperkenalkan oleh Sony pada 1979. Ia menggantikan ‘Boombox (stereo kotak).

Selain mudah alih, Walkman telah menjadikan pendengaran muzik dan audio rakaman sesuatu yang ‘personal.’

Gajet Walkman menggunakan pita kaset untuk memainkan muzik, tetapi tidak lama kemudian, beberapa syarikat telah memperkenalkan pula pemain CD mudah alih dan pemain MP3. Antaranya, iPod Apple, gajet yang paling menonjol kerana mempunyai reka bentuk menarik, keupayaan penyimpanan lebih besar dan strategi pemasaran jenama yang bijak. Bagaimana pun, apabila telefon pintar muncul popular, gajet muzik pula semakin ditelan zaman.

CD

Silver Spoon, CC BY 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/3.0>, via Wikimedia Commons

CD (Cakera Padat) adalah medium penyimpanan paling popular pada suatu masa dahulu. Pengganti kepada pita kaset dan CD telah diperkenalkan oleh syarikat Philips dan Sony pada 1982 untuk menghasilkan audio digital hi-fi. CD jenis asal hanya boleh menyimpan 10MB data, tetapi inovasi kemudiannya membolehkannya mencapai penyimpanan  maksimum pada kapasiti 700MB.

CD menjadi popular dengan cepat dalam industri muzik kerana kapasiti penyimpanan lebih besar, justeru sesuai untuk menyimpan muzik hi-fi. Bagaimanapun, sejak platform penstriman muzik mula mengambil alih pada lewat 2000-an, CD semakin tersisih.

Pemain DVD

JulianVilla26, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons

Hari ini jika ingin menonton filem, kita hanya memuat turun atau menstrimnya daripada Internet, tetapi kaedah tersebut tidak pernah diimpikan pada 90-an. Pengguna menyewa DVD filem dan menonton di TV mereka. Pemain DVD ialah peranti menggunakan DVD untuk memainkan video pada TV melalui kabel.

Sebagai pengganti kaset VHS, pemain DVD dicipta pada 1996 oleh syarikat Toshiba, dan sekali gus menjadikannya sebahagi sebahagian besar kaedah hiburan di rumah. Populariti meningkat setelah harga pemain DVD jatuh daripada beribu hingga serendah RM200. Tetapi, kepesatan peredaran teknologi sekali lagi menggantikan DVD dengan perkhidmatan penstriman filem.

Teknologi Berubah Pantas

Jika beberapa dekad dahulu kita hanya mampu menghantar mesej melalui telegraf, kaedah kini telah menjangkau begitu jauh dengan kemunculan sistem interaksi secara maya. Setiap generasi baharu membawa perubahan, mengorbankan yang kuno seiring perubahan masyarakat, dan ia akan terus berubah…

-BTS Media

Leave a Comment