Gambar atas: Pemandangan luar SeriNur Homestay
Oleh Ahmad Abd Hamid
“Nun jauh saujana di mata,
Rumah permai jauh dari kota
Di sana hamba terpaut rasa
Lambaian kasih mesra nan cinta”
(Lambaian Desa nyanyian A. Ramlie)
Indahnya suasana desa yang tenang dan damai. Angin sepoi-sepoi bahasa dan pepohon hijau melambai menyejukkan mata memandang, bagai menggamit agar segera datang.
Ingin nikmati keindahan desa murni, jauh dari kesibukan kota? Berkunjunglah ke Bagan Datuk, Perak, sebuah pekan kecil di tebing Sungai Perak. Rasai sendiri keheningan suasana desa, diserikan merdu kicauan burung.
Jangan risau tempat tinggal. Datang untuk bercuti, pertemuan semula dengan kawan-kawan (Reunion) atau balik pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, inap desa Nur atau NurHomestay sedia memenuhi keperluan dengan sewa berpatutan.

Dengan tagline ‘ketenangan, keselesaan, kepuasan, keseronokan semuanya ada di sini’, NurHomestay di Rungkup, Bagan Datuk, menjanjikan ketenangan dan kedamaian untuk penyewa, di bawah lambaian pohon kelapa dan kelapa sawit serta pohon-pohon hijau di sekeliling.
Kedudukan homestay ini hanya tiga minit dari pekan Rungkup, 15 minit dari pekan Selekoh dan Bagan Datuk. Dari Teluk Intan hanya 40 minit.
Walau pun dalam suasana kampung, homestay ini terletak di tepi jalan besar Pekan Rungkup. Sekiranya melalui jalan utama Teluk Intan-Bagan Datuk, masuk jalan Simpang Tiga dan terus ke Pekan Rungkup. Memang mudah untuk sampai.

Dari Teluk Intan atau Sitiawan dan Sabak Bernam, pandu sehingga pekan Simpang Empat, Hutan Melintang. Dari situ teruskan perjalanan ke arah Bagan Datuk sehingga sampai ke Simpang Tiga.
Menurut pemilik homestay, Rahmah Haji Mohamed, 65, yang tinggal di Keramat, Kuala Lumpur, ada dua unit NurHomestay. Sebuah dikenali sebagai Unit R&R, atau rumah kontena. Kedua ialah Unit SeriNur, rumah kayu yang besar dan cantik. Kedudukannya sebelah menyebelah antara satu sama lain.
Unit R&R mengambil nama Rahmah dan aruah ibunya, Rupiah. Unit SeriNur pula sempena nama rumah di Keramat, Seri Nur Villa. Seri ialah singkatan Taman Seri Keramat Tengah dan Nur diambil daripada nama anak-anak perempuan iaitu Nurzanariah, Nuraainaa dan Nur Azyyantie.
Unit R&R yang menggabungkan dua kontena dan satu unit kabin heavy duty, mempunyai dua bilik tidur, masing-masing dengan katil bersaiz king dan queen. Juga dilengkapi pendingin hawa, dua bilik mandi dan tandas, bermakna setiap bilik ada tandas sendiri.
Juga disediakan ialah TV LCD di ruang tamu dan kipas dinding. Peti sejuk, microwave oven serta cerek air turut disediakan bersama keperluan untuk makan minum. Bagaimana pun memasak di dalam unit tidak dibenarkan.
Unit SeriNur atau nama asal Homestay Kampungku, ialah rumah tradisional Melayu dua tingkat yang menjadi rumah inap pemilik homestay. Yang disewa sebagai homestay ialah bahagian atas, mempunyai satu bilik tidur dengan katil saiz queen, berserta bilik air dan tandas.

Turut disediakan dua kipas siling, aircooler, juga ruang tamu dengan set sofa, TV, satu mini bar dengan air mineral, cerek dan set membuat teh. Satu set pendingin hawa bakal dipasang di ruang tamu tidak lama lagi.
Di bahagian bawah rumah, atau kolong, ada ruang kosong yang luas dan lapang bagai dewan mini. Di sini boleh dijadikan venue majlis seperti Reunion, akad nikah, hari jadi dan majlis lain pada skala kecil. Ia boleh memuatkan antara 20 hingga 30 orang. Namun jika hendak menggunakan ruang ini, ia dikenakan sewa berasingan daripada homestay.
Kemudahan tambahan lain juga disediakan di homestay dengan mengenakan sedikit sewa. Yang minat memancing boleh menyewa joran dengan bayaran RM10 sehari.
Jika ingin mengadakan barbeku (BBQ), set disediakan dengan sewa RM20. Toto tambahan dan dua bantal dikenakan bayaran RM10. Juga disediakan ironing board untuk menggosok pakaian.
Mengenai sewa homestay, Rahmah memberitahu, untuk Unit R&R, sewanya RM200 sehari. Unit SeriNur, sewanya RM150 sehari. Tiada beza sewa pada hari biasa atau hujung minggu. Jika menyewa untuk tempuh agak lama, diskaun berpatutan boleh diberi. Bagi yang ingin menggunakan dewan mini bawah rumah, sewanya RM80, termasuk kemudahan yang disediakan.

Waktu masuk ialah pukul 12 tengahan dan keluar pukul 1 petang. Bagaimana pun kepatuhan waktu ini boleh dirunding jika ada keperluan. Deposit RM30 dikenakan setiap kali masuk semasa ambil kunci, dan dikembalikan ketika keluar sekiranya tiada perkara berbangkit.
Memandangkan homestay R&R dan SeriNur ini sering menjadi pilihan ramai, mereka yang berhasrat menyewa diminta membuat tempahan awal dengan menghubungi Rahmah di talian 0111-885-6069.

Walau pun tinggal di Keramat, Rahmah kerap balik kampung untuk memantau operasi homestay dan melakukan kerja-kerja pemulihan dan penambahbaikan jika perlu. Ini untuk memastikan homestay sentiasa selesa dan bersih. Petugas khas juga ada mengurus hal ehwal harian, termasuk kerja mengemas, pembersihan dan pengindahan.
Mengimbau sejarah tapak homestay, Rahmah memberitahu, aruah bapanya, Tok Sidang (Ketua Kampung) Haji Mohamed, memiliki tanah seluas dua ekar (0.9 hektar), diwarisi oleh empat penama anak aruah.

Kawasan tanah kemudian dimajukan sebagai Tok Sidang Haji Mohamed Heritage mulai 2017 dengan penanaman pokok kelapa matak dan pisang, merangkumi dua pertiga daripada keluasan tapak.
Satu pertiga tapak, di bahagian hadapan, empat pewaris sepakat mendirikan rumah kediaman dan homestay menurut bahagian milik masing-masing. Setakat ini Rahmah mendirikan dua buah homestay di atas tanah bahagian beliau seperti yang ada sekarang. Ekoran sambutan menggalakkan, pembinaan unit homestay lain bakal menyusul bagi memenuhi keperluan.
Jika berkunjung ke Bagan Datuk, atau anak perantauan kembali ke kampung halaman, rasailah keseronokan menginap di homestay R&R atau SeriNur yang sentiasa menanti kedatangan. Pasti anda puas hati dan akan datang kembali.


-BTS Media