PIHAK berkuasa di Bali sedang mempertimbangkan larangan terhadap penswastaan pantai kerana kebimbangan pembangunan komersial semakin menyukarkan penduduk tempatan dan pelancong kerana ialah adalah hak awam.
Pada 17 November, Gabenor I Wayan Koster mengemukakan draf peraturan baharu mengenai perlindungan pantai dan pesisir kepada Majlis Perundangan Wilayah Bali (DPRD) bagi memastikan semua kawasan pantai boleh digunakan oleh orang awam.
Koster menegaskan bahawa pantai dan pesisir Bali dianggap sangat penting oleh masyarakat setempat kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi ritual keagamaan, tetapi juga ruang untuk aktiviti sosial, budaya dan ekonomi.
Menurut Antara, beliau memaklumkan kepada ahli majlis bahawa pembangunan komersial yang rakus telah mengurangkan kawasan pantai sebagai ruang awam.
Beliau juga menzahirkan kebimbangan bahawa akses untuk upacara Hindu Segara Kerthi dan Pakelem semakin terbatas, dengan beberapa pengusaha hotel serta vila menghalang penduduk daripada menjalankan aktiviti keagamaan atau mengenakan larangan tertentu ketika upacara sedang berlangsung.
Segara Kerthi merupakan ritual Hindu Bali yang bertujuan menghormati dan menyucikan laut secara rohani, manakala Pakelem melibatkan pemberian persembahan ke laut bagi memohon keharmonian, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Koster berkata peraturan baharu itu bertujuan mengembalikan keadaan asal pantai Bali serta mengelakkan pengusaha pelancongan di kawasan pesisir daripada bertindak sewenang-wenangnya atau mengenakan sekatan yang tidak wajar.
Beliau menegaskan bahawa ada pemilik hotel atau vila yang bertindak seolah-olah mereka memiliki pantai dan laut, sedangkan hak milik mereka hanya terhad kepada tanah berhampiran pesisir.
Pihak pentadbiran Bali dan DPRD turut merancang untuk mempercepatkan perbincangan mengenai peraturan tersebut dengan sasaran meluluskannya sebelum akhir tahun 2025.
Di bawah Peraturan Presiden 2016 mengenai sempadan pesisir, pantai, yang ditakrifkan sebagai kawasan daratan sekurang-kurangnya 100 meter dari paras air pasang tertinggi, merupakan ruang awam, milik negara, dan tidak boleh diswastakan.
Namun, banyak hotel dan vila di kawasan tumpuan pelancongan, termasuk di Bali, sering menjadikan pantai sebagai hak persendirian dengan mengehadkan akses kepada bukan pelanggan.
Beberapa kejadian tular sejak beberapa tahun lalu menyaksikan pelancong dan penduduk tempatan dihalang memasuki pantai tertentu atas alasan “pencerobohan”, walaupun pantai-pantai tersebut adalah kawasan awam.
Antara kes yang dilaporkan termasuk seorang pelancong tempatan yang diarahkan meninggalkan Pantai Geger pada tahun 2023 kerana dikatakan mengganggu “pemandangan” untuk tetamu hotel, serta kejadian pada tahun 2021 apabila seorang penduduk Bali tidak dibenarkan duduk dan bermain bersama anaknya di sebuah pantai di Sanur.
Pada tahun 2019, pertikaian turut berlaku di Desa Temukus, Buleleng, apabila pelancong yang menyewa vila tepi pantai menghalang penduduk daripada berenang di kawasan tersebut.
Pembangunan komersial turut mengganggu kelangsungan upacara keagamaan dan peluang orang awam beriadah.
Pada bulan Oktober 2024, Finns Beach Club mencetuskan kontroversi selepas mengadakan pertunjukan bunga api ketika penduduk sedang menjalankan upacara di Pantai Berawa, walaupun mereka telah memaklumkan pihak pengurusan dan meminta acara itu ditangguhkan selama 30 minit.
Penduduk juga mendakwa bunga api dilancarkan di kawasan pantai awam, bukan dalam kawasan kelab tersebut.
-BTSMedia.my



