BTS Media

MIC tangguh keputusan keluar Barisan Nasional, serah kepada pimpinan tertinggi

PADA Perhimpunan Agung Tahunan MIC 2025 di Shah Alam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan membentangkan tiga usul termasuk cadangan untuk meninggalkan BN dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.

Menurut laporan yang memetik beliau, langkah tersebut membuka ruang untuk MIC membuat permohonan rasmi kemasukan ke dalam PN.

Bagaimana pun,  Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, pihaknya terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti selain Perikatan Nasional (PN), mungkin Pakatan Harapan (PH).

Saravanan berkata penyertaan itu mampu menyediakan platform baharu yang lebih terangkum, berprinsip serta memberi ruang lebih luas kepada suara masyarakat India di Malaysia.

Saravanan turut menjelaskan bahawa penilaian menyeluruh terhadap kedudukan parti dalam BN, selain suasana politik semasa, menjadi asas kepada usul tersebut.

Kerjasama sedia ada dikatakan tidak lagi memberi ruang mencukupi untuk MIC memainkan peranan berkesan demi memperjuangkan kepentingan masyarakat India dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata perwakilan Perhimpunan Agung MIC ke-79 bersetuju parti itu bersedia menamatkan penyertaannya dalam BN, namun tertakluk kepada proses dan peruntukan dalam perlembagaan parti.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan mendalam melibatkan akar umbi, kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan, serta pimpinan negeri dan pusat.

Walau bagaimanapun, para perwakilan bersetuju supaya keputusan muktamad ditangguhkan sehingga mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang seterusnya.

Menurut Sinar Harian, walaupun usul itu dibahaskan, tiada undian dijalankan kerana perhimpunan bersetuju menyerahkan keputusan tersebut kepada Presiden Tan Sri S. A. Vigneswaran serta kepimpinan tertinggi MIC.

MIC merupakan salah satu parti pengasas BN, yang telah menerajui kerajaan sejak kemerdekaan.

Parti itu ditubuhkan pada bulan Ogos 1946, kemudian bersama Umno dan MCA membentuk parti Perikatan pada 1955 sebelum berkembang menjadi Barisan Nasional pada 1974.

-BTSMedia.my

Leave a Comment