PIHAK berkuasa Afghanistan melaporkan bahawa gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda berhampiran bandar utara Mazar-e Sharif pada awal pagi hari Isnin.
Setakat ini sekurang-kurangnya 20 orang maut, dan ratusan lagi cedera.
Gegaran turut menyebabkan kerosakan besar pada Masjid Biru (Rawze-e Sharif) yang berusia berabad-abad di bandar tersebut.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa jumlah kematian dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat tiba di kawasan terpencil di wilayah Balkh dan Samangan.
Menurut Kajian Perkhidmatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku pada kedalaman kira-kira 28 kilometer berhampiran bandar yang didiami sekitar setengah juta orang.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Sharfat Zaman berkata kira-kira 320 orang cedera dan semua hospital berdekatan telah diarahkan bersiap sedia untuk merawat mangsa.
Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan pekerja kecemasan mencari mangsa di bawah runtuhan dan mengeluarkan mayat dari bangunan yang roboh.
Jurucakap wilayah Balkh, Haji Zaid, berkata sebahagian daripada Masjid Biru, iaitu tapak paling suci oleh sebahagian besar penduduk Afghanistan, yang dipercayai tempat persemadian sepupu dan menantu Nabi Muhammad, telah mengalami kerosakan. Dibina pada abad ke-15, struktur utama masjid itu dilaporkan masih teguh walaupun terdapat kerosakan pada batu dan jubinnya.
Gempa bumi tersebut menambah lagi kesukaran dihadapi oleh pentadbiran Taliban, yang sedang bergelut dengan pelbagai krisis termasuk gempa bumi dahsyat pada bulan Ogos, pengurangan bantuan asing, serta pengusiran besar-besaran pelarian Afghanistan oleh negara jiran. Syarikat Tenaga Nasional Afghanistan turut mengesahkan bahawa gempa itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara, termasuk di ibu kota Kabul.
USGS memberi amaran bahawa “angka kematian adalah lebih tinggi kerana impak bencana itu mungkin lebih meluas.
Afghanistan sangat terdedah kepada gempa bumi kerana kedudukannya di atas dua garis sesar aktif.
Pada akhir bulan Ogos lalu, satu gempa bumi kuat dan gegaran susulan di tenggara negara itu telah meragut lebih 2,200 nyawa, dalam satu kejadian yang turut memerlukan bantuan besar-besaran peringkat nasional.
-BTSMedia.my



